KUALA TERENGGANU: Tanaman padi di Terengganu tidak terjejas walaupun berlaku fenomena cuaca panas ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata bekalan air bagi tanaman padi di seluruh negeri mencukupi bagi memastikan kesuburan tanaman walaupun berdepan kemarau.
Beliau berkata, persiapan awal, termasuk kerja menaik taraf sistem pengairan dan saliran padi sawah di negeri itu tidak mengalami sebarang gangguan walaupun negara berdepan cuaca panas.
"Kerajaan negeri sudah melaksanakan kerja menaik taraf sistem pengairan dan saliran bagi membolehkan kawasan sawah padi mendapat bekalan air yang mencukupi walaupun berdepan kemarau yang panjang.
"Usaha ini turut dibantu dengan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya kepada media di pejabatnya, hari ini.
Azman, yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi, berkata jumlah keluasan kawasan penanaman padi di negeri itu adalah seluas 12,542 hektar, termasuk 5,323 hektar kawasan dalam jelapang dan 7,221 hektar bagi kawasan luar jelapang.
Katanya, purata pengeluaran padi adalah lima metrik tan bagi setiap satu hektar untuk kawasan dalam jelapang padi, manakala bagi kawasan luar jelapang, purata pengeluaran hasil antara tiga metrik tan dan empat metrik tan bagi setiap hektar.
"Bagi memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan tidak mengalami sebarang gangguan, kita membelanjakan sebanyak RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada 2021 dan RM700,000 pada tahun lalu.
"Kawasan tanaman padi sekali setahun dijadikan dua kali setahun, selepas kerajaan menaik taraf sistem pengairan terutama di bawah Skim Padi di Kampung Paya Dadong serta Skim Paya Paman di Kemaman dan di Durian Mentangau, Dungun," katanya.