Rabu, 10 Mei 2023 | 10:55am

Ketagihan rokok perlu penyelesaian komprehensif

DASAR Generasi Penamat (GEG) mula dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen tahun lalu tidak sempat untuk bacaan kali ketiga pada pertengahan Oktober lalu susulan pembubaran Parlimen.

Walau bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa tidak menolak segala cadangan serta melihat kembali dasar itu  untuk ditambah baik demi kepentingan rakyat Malaysia.

Tidak dinafikan, merokok telah lama menjadi kebimbangan kesihatan utama di seluruh dunia kerana ia mengandungi pelbagai jenis bahan beracun berbahaya termasuk tar dan karbon monoksida. 

Namun, menurut ramai pakar termasuk Pengurus Projek dan Integrasi Pengetahuan PMI, Mark Bentley, kandungan nikotin bukanlah punca utama penyakit  berkaitan merokok seperti kematian akibat kanser, paru-paru dan penyakit jantung.

Sebaliknya, punca utama adalah asap rokok yang mengandungi lebih 6000 jenis bahan kimia  yang dihasilkan melalui proses pembakaran tembakau dari rokok konvensional, dimana dalam 6,000 jenis bahan kimia ini, terdapat lebih daripada 100 telah diklasifikan sebagai bahan kimia yang berbahaya dan berpotensi berbahaya.

Jika ingin dibandingkan, produk alternatif seperti produk tembakau yang dipanaskan ("Heated Tobacco Products") atau vape tidak menggunakan proses pembakaran untuk menghantar dos nikotin kepada penggunanya. 

Contohnya, produk tembakau yang dipanaskan hanya memanaskan tembakau dan seterusnya tidak membebaskan kebanyakan bahan kimia berbahaya.

Menurut Ketua Saluran Profesional Global PMI, Dr Thomas McGrath, kajian menunjukkan bahawa apabila suhu tembakau meningkat, tahap bahan kimia berbahaya dan berpotensi berbahaya juga meningkat.

"Sebaliknya, tahap keseluruhan bahan kimia berbahaya dan berpotensi berbahaya dapat dikurangkan dengan ketara jika ia tidak melibatkan pembakaran."

"Jadi, dalam aerosol sistem pemanasan tembakau, paras bahan kimia berbahaya dan berpotensi berbahaya ini secara purata akan dikurangkan sebanyak 90 hingga 95 peratus berbanding asap rokok," katanya. 

Justeru itu, produk tembakau yang dipanaskan adalah berbeza dengan rokok konvensional kerana risikonya yang berbeza profil dan potensi pengurangan bahaya.

Pengamal perubatan dan Pengerusi, Pengasas dan Pengarah Persatuan Pengurangan Kemudaratan Tembakau Australia, Dr Colin Mendelsohn, pula berkata sudah tiba masanya doktor dan pengamal perubatan mempertimbangkan produk alternatif seperti vape nikotin dalam strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR).

"Ia boleh digunakan sebagai bantuan berhenti jangka pendek atau sebagai alternatif jangka panjang yang kurang memudaratkan berbanding merokok," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Hospital Pakar Johor, Dr Muhammad Redzwan S Rashid Ali, turut mengakui vape tampak sebagai alternatif kepada rokok tembakau, walaupun tiada bukti jelas dari sudut perubatan. 

Beliau juga menegaskan, mengikut konteks kesihatan awam dan global, alternatif kepada rokok ini berpotensi besar sebagai alat mencegah tabiat merokok tetapi kawalan dan pemantauan perlu dilakukan.

Justeru, penelitian komprehensif GEG perlu dipertimbangkan dari semua aspek termasuklah sudut sains dan strategi pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau (THR) wajar dipertimbangkan, seperti yang terbukti di negara-negara seperti UK, New Zealand dan Philippines.  

Jika tidak, dibimbangi ia sukar untuk dikuatkuasakan, seterusnya dilihat memberi kesan kepada keseluruhan termasuk ekonomi dan pencetusan pasaran gelap.

Berita Harian X