JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berpuas hati dengan kelancaran proses keluar masuk di sempadan darat Johor, membabitkan laluan motosikal dan kereta, pagi ini.
Ia susulan cadangan formula baharu pertukaran syif diumumkan oleh pihak bertanggungjawab untuk mengatasi kesesakan ketika waktu puncak terutama di Tambak Johor, laluan sempadan paling sibuk di dunia dengan lebih 30,000 pengembara setiap hari.
Onn Hafiz, yang melakukan pemeriksaan mengejut secara berkala di kaunter Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah sejak beberapa minggu lalu juga mahu situasi ditangani segera bagi pejalan kaki dan penumpang bas.
"Alhamdulillah, laluan motosikal dan kereta semakin baik di BSI dan KSAB. Sekarang, kita perlu memperbaiki (laluan) bagi mereka yang berjalan kaki dan menaiki bas.
"Purata waktu menunggu dekat sini (laluan pejalan kaki dan bas) adalah kira-kira 40 minit," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu yang meluangkan masa kira-kira 40 minit di BSI, turut menyiarkan rakaman video berdurasi 13 saat, menunjukkan penumpang menunggu dan menaiki bas untuk memasuki Singapura.
Khamis lalu, Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, akan melaksanakan formula baharu pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat di BSI dan KSAB, bagi memastikan semua kaunter dibuka ketika waktu puncak.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dilaporkan berkata Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di BSI kekurangan hampir 300 kakitangan lagi bagi melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.
Beliau berkata, ketika ini, CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen berbanding keperluan 1,347 kakitangan dan akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI, akhir Mei ini susulan rekrut Imigresen bakal tamat latihan pada 20 Mei ini. - BERNAMA