LONDON: Malaysia akan memanfaatkan pentas Minggu Kraf London (LCW) di sini untuk bercerita mengenai rakyat menerusi bahasa kraf pada pameran yang akan menampilkan warisan negara yang dihasilkan pelbagai etnik.
Bertemakan 'Abstract Nature' (Abstrak Alam Semula Jadi) pameran dijadual berlangsung sehingga Ahad depan akan mempamerkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui tradisi krafnya yang luar biasa.
Ia juga akan menonjolkan kemahiran kraf yang berakar umbi dalam masyarakat Orang Asli Malaysia iaitu Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia dan suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.
Pameran edisi kedua Malaysia berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square itu termasuk demonstrasi dan bengkel secara langsung, antara lain ukiran kayu, penyepuhan tekstil atau teknik menghias tekstil (telepuk), bakul, anyaman tikar, songket (broked), sulaman dan manik suku.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang mengetuai delegasi Malaysia bagi pameran itu bertitah, produk yang dipamerkan antaranya Telepuk Terengganu dan Songket Terengganu, produk tenun orang Semelai Pahang (Anyaman Pandakan), warisan tenun Mah Meri (Anyaman Pandan.) dan arca nenek moyang dari Selangor.
Kraf utama dari Sabah ialah Anyaman Tikar dan Anyaman Ribu-Ribu, manakala kraf anyaman Sarawak termasuk Anyaman Bergerang, Ikat Iban Sarawak, Anyaman Penan dan sulaman (Keringkam Sarawak).
Pameran 'Abstrak Alam Semula Jadi' yang direka dan disusun Judith Clark bersama arkitek Ryan Cook akan mengetengahkan kemahiran kraf yang berakar umbi dalam komuniti Orang Asli negara ini, memaparkan motif dan sumber dari landskap Malaysia, abstrak hiasan seni flora dan fauna yang rumit, ukiran kayu, bakul dan anyaman, mencipta sejarah penceritaan yang menyentuh hati.
Clark adalah seorang Profesor Fesyen dan Museologi di University of Arts London dan Ketua Kursus untuk MA Fashion Curation.
Kraf dipamerkan itu hiasan dalaman domestik dan pakaian harian serta pakaian semasa upacara rasmi.
Ia memberi dorongan untuk meneroka pelbagai tradisi tekstil negara termasuk brokat tenunan tangan, fabrik ikat meledingkan, sulaman dan corak manik yang rumit.
Pameran yang direka semula daripada bahan pameran sulung Raja Permaisuri Agong tahun lalu, bertemakan 'Weaving Hope', menonjolkan bukan sahaja komitmen terhadap reka bentuk yang mampan tetapi menggariskan kuasa transformasi kraf.
"Tahun lalu, kami menyertai Minggu Kraf London dengan mempromosikan tekstil warisan Diraja Tenun Pahang dan ia cukup berjaya apabila menarik 3,000 pengunjung termasuk pereka fesyen.
"Berikutan sambutan menggalakkan, kali ini kita memutuskan untuk menampilkan produk kraf warisan tempatan kerana kebanyakan produk itu dihasilkan oleh generasi lama dan akan hilang jika tidak dihidupkan semula," titah Tunku Azizah.
Baginda bertitah, terdapat permintaan tinggi untuk produk kraf tersebut dan oleh itu kraf seni yang semakin hilang populariti seperti telepuk dan keringkam, wajib dipulihara dan dihidupkan semula dengan cara memakai atau menggunakannya secara lebih kerap.
Tunku Azizah yang juga penaung Yayasan Tenun Diraja Pahang, berkata tujuh pakar kraf diterbangkan untuk mengetengahkan seni kraf masing-masing pada pameran itu.
Mereka ialah Norhaiza Noordin (Telepuk Terengganu), Maznah Unyan (Anyaman daun pandan Mah Meri), Ros Salleh (Keringkam Sarawak), Shirley Vilin (Pua Kumbu Iban), Samri Abdul Rahman (ukiran nenek moyang), Helena David (manik suku Orang Ulu Sarawak dan Senia Jugi (Ketapu Tunjang - tenunan tangan Iban tenunan dan tenunan Bemban).
Selain pameran, bengkel turut diadakan mengenai Ikat Iban (Pua' Kumbu dari Sarawak), Bunga Moyang (anyaman daun oleh suku Mah Meri), bakul (Sarawak), Keringkam (Melayu/Melanau) dan Sulam Manik (manik oleh Orang Ulu, Sarawak).
Turut dipamerkan menerusi LCW ialah kraf berasaskan hutan, terutamanya bakul yang diperbuat daripada rotan, bemban, nipah dan daun sagu serta kraf tangan menggunakan gentian asli seperti terendak (sunhat), tikar Bergerang menggunakan daun pandan dari Sarawak dan tikar daun mengkuang.
Tunku Azizah bertitah, selain kraf unik Borneo, Songket Terengganu turut diketengahkan pada pameran tahun ini.
Penyertaan Malaysia dalam pameran itu diketuai Yayasan Tenunan Pahang Diraja dan disokong kerajaan Persekutuan (Kementerian Luar Negeri), kerajaan Pahang dan Sarawak, Kraftangan Malaysia dan Songket Diraja Terengganu.
Bertujuan menonjolkan komuniti kreatif yang tidak didendang, edisi kesembilan LCW menyaksikan kraftangan, pereka bentuk, kurator dan usahawan kraf.
Dengan matlamat menampilkan komuniti kreatif yang tidak didendang, edisi kesembilan LCW menyaksikan kraftangan, pereka bentuk, kurator dan usahawan kraf dari seluruh dunia berpusu-pusu ke London menyertai bengkel selama seminggu, lawatan dan pameran seni yang berlangsung di seluruh kota raya ini.
LCW mempamerkan beberapa projek unggul- Artisan Chelsea, The Mills Fabrica, Serapian, Delvaux, Pimlico Road Series dan paviliion antarabangsa - Austria, Korea, Malaysia dan Taiwan.
Setiap acara berlangsung di lokasi berasingan seperti di studio, muzium negara, galeri kontemporari, butik mewah di sekitar London, dari Soho ke South Kensington, Hammersmith ke Hackney dan hab baharu, seperti East London dan Park Royal. - BERNAMA