CYBERJAYA: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 Ke-40 buat julung kali akan menampilkan Negara Tamu, Negeri Tamu dan Kementerian Tamu dalam penganjurannya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dekat sini, bermula 26 Mei hingga 4 Jun ini.
Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, berkata PBAKL itu diserikan dengan tiga pavilion menampilkan China sebagai Negara Tamu; Sarawak (Negeri Tamu) dan Kementerian Pendidikan (Kementerian Tamu).
Beliau berkata, selain tiga peserta tamu itu, PBAKL 2023 akan menampilkan 811 reruai disertai 138 pempamer dari dalam dan luar negara.
"Reruai yang ada (ditempah) setakat ini adalah 811 termasuk 30 reruai disertai penerbit buku antarabangsa. Banyak lagi (penerbit dan penjual buku) ingin serta dan kita sedang usahakan ruang untuk memenuhi permintaan ini.
"Ini satu petanda baik apabila makin ramai terbabit dalam industri perbukuan ingin berkongsi (karya keluaran) dan dilihat satu peluang untuk galakkan budaya membaca bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak sekolah, bahkan masyarakat umum," katanya pada Majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 dan Sambutan Aidilfitri Industri Perbukuan di Tamarind Square di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Kementerian Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim; Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Noor Amin Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar.
Mohd Khair berkata, PBAKL 2023 menyasarkan lebih 1.3 juta pengunjung dalam acara yang turut dianjurkan secara hibrid bagi tahun kedua dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee bagi membolehkan akses meluas kepada peminat buku.
"Pada masa sama, buat pertama kali PBAKL berkolaborasi dengan TikTok Malaysia bagi menambah galakan keterujaan pengunjung dan pembaca, antaranya menerusi pertandingan resensi buku di platform itu," katanya.
Sementara itu, Ahmad Rafee ketika membaca teks ucapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata selari dengan konsep PBAKL 2023 untuk menjadikan budaya membaca sebagai pembentuk keperibadian unggul masyarakat Madani, pelbagai kelainan bakal ditampilkan bagi merakyatkan buku dan memperkasa industri perbukuan di negara ini.
Beliau berkata, PBAKL 2023 akan diisi dengan pelbagai tarikan baharu yang menyasarkan masyarakat merentas pelbagai peringkat usia.
"Dalam kajian The World's Most Literate Nation pada 2016 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-53 dibandingkan Singapura berada pada kedudukan ke-36. Ini bermakna kita masih jauh ketinggalan.
"Oleh itu, budaya membaca adalah satu kemestian kepada pembangunan masyarakat Madani yang berpengetahuan, berbudaya serta berdaya cipta tinggi.
"Justeru, melalui PBAKL 2023, selain berlangsung aktiviti berjual beli, pempamer perlu proaktif menjalankan aktiviti membaca. Aktiviti seperti ini akan meninggalkan kenangan istimewa kepada pengunjung," katanya.