Isnin, 8 Mei 2023 | 1:54pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Sultan Selangor titah kerajaan jaga hal kebajikan doktor, petugas kesihatan

SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menitahkan kerajaan agar menjaga hal kebajikan doktor dan petugas kesihatan di negara ini dengan tidak seharusnya menjadikan ia sebagai isu politik.

Baginda bertitah, tindakan mempolitikkan isu kesihatan itu akan merugikan semua pihak.

Titahnya, petugas kesihatan seharusnya diberikan pengiktirafan yang sewajarnya kerana ia adalah kerjaya yang mulia.

"Beta juga berkenan supaya doktor dan pakar perubatan serta petugas kesihatan lain supaya terus mencurah bakti dan terus berkhidmat di hospital kerajaan demi menabur jasa kepada rakyat jelata.

"Hanya di hospital kerajaan sahajalah rakyat boleh menerima rawatan dan kepakaran yang berkesan dan lebih murah. Kepakaran doktor amatlah perlu di hospital awam bagi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat secara menyeluruh.

"Justeru, beta menasihatkan doktor dan petugas kesihatan yang lain supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan bersikap profesional," titahnya pada Majlis Perasmian dan Penjenamaan Semula Hospital Serdang.

Sultan Sharafuddin hari ini berkenan menjenamakan semula Hospital Serdang yang kini dikenali sebagai Hospital Sultan Idris Shah Serdang.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan supaya projek berkepentingan tinggi seperti pembinaan hospital dan klinik baharu, terutamanya di Selangor disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Titah baginda, agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan ke atas projek berkenaan hendaklah memantau dengan teliti pelaksanaan projek sekaligus dapat menangani sebarang masalah pembinaan dengan pantas dan cekap.

"Dengan terbinanya fasiliti kesihatan baharu di Selangor, rakyat boleh mendapatkan rawatan terbaik dengan kos yang mampu dan berpatutan.

"Oleh itu, pembinaan hospital dan klinik awam mesti dilaksanakan dengan cekap supaya ia dapat diselesaikan dalam tempoh dirancang dan beroperasi dengan cekap bagi kesejahteraan rakyat jelata," titahnya.

Sultan Sharafuddin turut menyeru supaya semua fasiliti kesihatan yang uzur dan hospital lama hendaklah diberi perhatian dan penjagaan teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Setiap infrastruktur dan peralatan yang rosak perlu dinaik taraf dan dibaiki untuk keselesaan pesakit dan mempermudahkan akses kesihatan kepada rakyat.

"Beta berkenan supaya pengurusan hospital baharu hendaklah mempunyai sistem pengurusan fasiliti yang cekap dan memastikan penyelenggaraan berjadual dilaksanakan," titahnya.

Mengulas mengenai isu kesihatan di negara ini, baginda menyarankan supaya kerajaan mewujudkan satu skim insuran supaya rakyat mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan sama ada di fasiliti kerajaan ataupun swasta.

"Ada trend peningkatan penyakit tidak berjangkit secara global dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya di Selangor.

"Berikutan itu kos perawatan, ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan penduduk turut meningkat sehingga membebankan rakyat.

"Justeru, kerajaan haruslah prihatin terhadap mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk penjagaan kesihatan penduduk dengan memberi perhatian kepada agenda membangunkan skim insurans kesihatan kebangsaan.

"Dengan wujudnya skim insuran ini, rakyat mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan sama ada di fasiliti kerajaan ataupun swasta," titahnya.

Bagaimanapun, baginda menyatakan walaupun kerajaan adalah penyedia perkhidmatan kesihatan utama di negara ini, pembiayaan kesihatan tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada kerajaan semata-mata.

"Setiap daripada kita juga seharusnya menguruskan pembiayaan kesihatan dirinya dengan mampan supaya dapat mengecapi kesihatan diri yang baik dan terurus. Di samping itu luangkan masa dengan bersukan dan beriadah serta mengamalkan pemakanan sihat.

"Penjagaan kesihatan diri sendiri tidak boleh diambil ringan. Ia adalah tanggungjawab bersama tidak kira kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan mahupun individu," titahnya.

Berita Harian X