BAYAN LEPAS: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, mengakui terkejut apabila didakwa menumpang populariti Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Merujuk kenyataan itu yang dikeluarkan Muhammad Sanusi, Mahfuz menyifatkan tindak tanduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai kelakar dan tidak ubah seperti watak komedi terkenal antarabangsa, Mr Bean, yang dilakonkan aktor, Rowan Atkinson.
"Saya pun terkejut. Bila pula saya tumpang populariti dia? Tapi saya akui dia sangat popular seperti 'Mr Bean'.
"Mr Bean sangat popular dengan lawak jenakanya, jadi dia (Muhammad Sanusi) boleh menyanyi, jadi dia sangat popular dan kelakar seperti Mr Bean," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) di Teluk Kumbar, hari ini.
Mahfuz berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu cuba menumpang populariti melalui kes saman fitnah ke atas beliau.
Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa sudah menyerahkan wang kepada peguamnya pada minggu lalu untuk membayar saman fitnah terhadap Mahfuz.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Kedah itu diminta segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan bakal difailkan ke atasnya.
Mahfuz dalam pada itu berkata, beliau atau peguamnya setakat ini belum menerima apa-apa bayaran susulan kes saman fitnah itu daripada Muhammad Sanusi.
"Kalau dia nak bagi (bayaran saman) kepada peguam atau beri terus kepada saya daripada awal dia boleh bagi.
"Tetapi sehingga kini wang berkenaan belum saya terima dan peguam saya juga belum terima," katanya.