SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tidak akan menggantung Parlimen, sebaliknya mencabar pembangkang supaya menghantar notis usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata, pembangkang boleh mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan beliau berjanji untuk berdepan usul itu pada persidangan Parlimen, yang akan bermula 22 Mei depan.
"Saya tidak akan gantung Parlimen dan kita lawan di Parlimen. Itu baru cara mentadbir. Sebab apa, sebab saya mahu 'matikan' keluh kesah soal kestabilan politik ini.
"Saya mahu 'matikan' (pertikaian mengenai jumlah sokongan Perdana Menteri) supaya semua boleh tumpu untuk menjaga nasib rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, sebarang notis usul kepada Parlimen perlu diserahkan selewat-lewatnya 14 hari sebelum persidangan Parlimen bermula.
Ura-ura sebelum ini menyatakan kononnya pembangkang kini memperoleh sokongan 126 Ahli Parlimen, sekali gus berupaya menggugat kedudukan kerajaan yang dipimpin Anwar ketika ini.
Dalam pada itu, Anwar yakin, kerajaan kini stabil dan tidak mudah dijatuhkan dengan tumpuan dan fokus seluruh anggota pentadbiran, untuk memastikan ekonomi negara dapat dibangunkan, sekali gus membela nasib rakyat.
Perdana Menteri berkata, dengan kestabilan politik itu, banyak pelaburan, termasuk yang membabitkan syarikat besar akan melabur di negara ini dan limpahannya akan dirasai oleh rakyat.
"Petang ini, jam 2.30 petang, Pengerusi Geely (Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd) akan menemui saya dan pada jam 4 petang, akan diumumkan peruntukan pelaburan besar puluh bilion untuk menjadikan Malaysia sebagai markas automobil di rantau ini.
"Ini dilakukan kerana dia yakin dengan dasar dan kepimpinan. Sebab itu, kita letakkan kepentingan soal kestabilan ini," katanya.