Ahad, 7 Mei 2023 | 2:55pm
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke , beramah mesra dengan ahli parti pada Konvensyen DAP Johor, di Muar, Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke , beramah mesra dengan ahli parti pada Konvensyen DAP Johor, di Muar, Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

DAP terus sokong kepemimpinan Chow Kon Yeow

MUAR: Sebarang perbincangan mengenai pertukaran Ketua Menteri Pulau Pinang hanya akan dilakukan selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengesahkan DAP akan terus menyokong kepemimpinan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang masih berfungsi seperti biasa menerusi kepemimpinan Kon Yeow.

"Bila sampai Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, baru kita bincang semula mengenai jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Sekarang ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang masih belum dibubarkan. Oleh itu, kerajaan negeri di sana masih berfungsi seperti biasa. DAP masih mendukung kepemimpinan Kon Yeow untuk terus menerajui negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Veteran DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Laporan berkenaan mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, bakal kembali menerajui kerajaan negeri selepas mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

Kelmarin pula, media melaporkan, mana-mana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri berkuat kuasa, tidak boleh dilantik semula ke jawatan sama.

Kon Yeow dilaporkan berkata, Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan, Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.

"Undang-undang itu jelas dan ia bukan sahaja mengikat saya pada masa hadapan tetapi (turut) mengikat mana-mana Ketua Menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal pada bila-bila masa.

"Peraturan utama dalam mentafsir Perlembagaan ialah apabila bahasa yang digunakan adalah jelas dan tiada pertimbangan luar perlu dirujuk untuk membantu mencari maksud dalam mentafsir Perlembagaan itu.

"Ini kesimpulan yang boleh kita sampaikan kepada rakyat atau pihak yang tidak pasti dan kita pun selalu mendapat pertanyaan mengenai isu ini," katanya.

Berita Harian X