Ahad, 7 Mei 2023 | 11:09am
Mencari kebebasan hidup, terpengaruh dengan rakan, tidak minat belajar, ajakan kekasih, kurang mendapat perhatian dan perselisihan keluarga dikenal pasti sebagai punca utama 2,977 kes remaja dilaporkan melarikan diri dari rumah daripada 3,589 kes kanak-kanak hilang antara 2019 hingga 2022. - Foto hiasan
Mencari kebebasan hidup, terpengaruh dengan rakan, tidak minat belajar, ajakan kekasih, kurang mendapat perhatian dan perselisihan keluarga dikenal pasti sebagai punca utama 2,977 kes remaja dilaporkan melarikan diri dari rumah daripada 3,589 kes kanak-kanak hilang antara 2019 hingga 2022. - Foto hiasan

Mahu bebas, ikut kekasih punca remaja lari rumah

KUALA LUMPUR: Mencari kebebasan hidup, kurang mendapat perhatian dan perselisihan dalam keluarga dikenal pasti sebagai punca utama yang membawa kepada anak-anak atau remaja melarikan diri dari rumah.

Berdasarkan data dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), golongan berkenaan juga didapati meninggalkan rumah kerana terpengaruh dengan rakan, tidak minat untuk belajar, selain ada yang bertindak atas ajakan kekasih.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata bagi tempoh tiga tahun antara 2019 hingga 2022, sejumlah 2,977 atau 82.95 peratus daripada 3,589 kes kanak-kanak dilaporkan hilang di negara adalah disebabkan perbuatan sengaja melarikan diri dari rumah.

"Daripada siasatan polis mendapati faktor atau penyebab utama remaja sengaja lari dari rumah adalah kerana ingin mencari kebebasan iaitu 39.23 peratus atau 1,168 orang.

"Jumlah kanak-kanak melarikan diri dari rumah ini amat membimbangkan kerana boleh membawa kepada punca gejala sosial yang lain kerana kelompok remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,973 orang.

"Antara gejala sosial dikenal pasti adalah perlakuan seks bebas, mengandung di luar nikah, pembuangan bayi, terjerat dengan jenayah dadah, jenayah curi, khianat atau merosakkan harta benda dan sebagainya," katanya kepada BH.

Siti Kamsiah berkata, sepanjang tempoh itu juga 80 kes kehilangan kanak-kanak disebabkan kemalangan atau bencana seperti hilang di laut, di kebun sawit, hutan, dibaham buaya atau dijumpai mati.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Katanya, tidak kurang juga kes kanak-kanak yang dilarikan penjaga seperti kes membabitkan ibu bapa yang bercerai, lari mengikut ibu atau bapa tiri dan mengikut ibu atau bapa angkat yang membabitkan 62 kes.

Beliau mengakui, ada juga kes kanak-kanak bertindak lari demi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa jenayah di rumah, namun kes seperti itu adalah kecil.

Katanya, laporan mengenai kejadian kanak-kanak hilang juga diterima sepanjang tahun tanpa mempunyai tempoh masa atau musim tertentu yang menjadi faktor perbuatan itu.

"Mereka hilang tak tunggu musim, sepanjang tahun ada kes yang dilaporkan dan faktor adalah seperti perselisihan faham dengan keluarga, mahukan kebebasan adalah yang paling tinggi.

"Daripada jumlah yang hilang atau melarikan diri itu, 97.65 peratus kes selesai atau ditemui semula, dengan 0.8 peratus atau 28 orang kanak-kanak ditemui meninggal dunia," katanya.

Susulan itu, Siti Kamsiah menasihati ibu bapa supaya memainkan peranan penting dalam aktiviti seharian anak mereka.

"Ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak mereka berkawan dan bukan sekadar mengetahui nama rakan. sebaliknya turut mencatatkan maklumat penting seperti nombor telefon, alamat serta maklumat ibu bapa rakan anak mereka," katanya.

Hadkan pergerakan anak

Selain itu, Siti Kamsiah menasihati ibu bapa untuk mengehadkan waktu pergerakan anak masing-masing sesuai dengan umur dan kematangan mereka.

"Ada ibu bapa membiarkan anak mereka yang berusia kurang 10 tahun keluar rumah sendirian pada waktu malam.

"Ibu bapa harus peka kawasan sekeliling dan jangan ambil mudah keselamatan anak walaupun anak keluar untuk ke kedai berhampiran, sepatutnya cakna keadaan sekeliling sama ada selamat atau tidak untuk membiarkan anak kecil keluar bersendirian pada waktu malam, malah waktu siang juga perlu diambil perhatian." katanya.

Beliau berkata, hubungan rapat antara ibu bapa dengan anak juga mampu mencegah risiko anak lari rumah atas pengaruh kawan, mengikut emosi atau mengikut kekasih.

Katanya, ada kes anak keluar rumah selama beberapa hari, dilaporkan hilang dan sebagainya, apabila pulang mengaku sudah mengadakan hubungan seks dengan kekasih.

"Perkara itu tidak berakhir di situ kerana anak itu kemudian didapati mengandung. Apabila remaja itu dikahwinkan dalam keadaan tidak bersedia dan mengandungkan anak yang tidak diingini, tekanan dalam rumah tangga boleh menjadikan pasangan itu bertindak di luar jangkaan sehingga mendera bayi mereka atau suami memukul isteri dan sebagainya," jelasnya.

Mengulas kes yang masih dibuka atau kanak-kanak yang belum dijumpai, Siti Kamsiah menegaskan, PDRM tidak pernah menutup mana-mana kes kanak-kanak hilang sehingga mangsa ditemui sama ada hidup atau meninggal dunia.

Antara kes masih dalam siasatan adalah kehilangan Tin Song Sheng, 7, yang dilaporkan hilang sejak 1996; kes Sharlini Mohd Nashar, 5, yang dilaporkan hilang ketika bermain dengan kawan di Taman Medan, Petaling Jaya pada 2008 dan Muhammad Asmawi Jalaludin,11, yang hilang sejak 2008 di Lembah Pantai, Kuala Lumpur,

Kes lain yang masih dibuka siasatan adalah kehilangan Nisha Chandramohan, 2, yang hilang sejak 2010; Low Min You, 3, hilang sejak 2014; Jenifer Anthonysamy, 11, sejak 2015 selepas tidak pulang dari sekolah, dan Qaseh Qumairah Damia Abdullah, 7, hilang sejak 2017 yang tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain dengan kawan.

Siti Kamsiah juga menegaskan, PDRM tidak menetapkan sebarang had masa untuk kes kanak-kanak hilang dan siasatan diteruskan sehingga kanak-kanak ditemui semula sama ada hidup atau mati.

"Kertas Enkuiri Poilis (KEP) akan terus dibuka sehingga kanak-kanak yang hilang itu dijumpai semula.

"PDRM tidak menutup kes berhubung kanak-kanak hilang walaupun ia berlaku 10 tahun lalu, malah siasatan tetap berjalan berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh," katanya.


Ibu bapa kanak-kanak hilang boleh didakwa

Ibu bapa kanak-kanak yang dilaporkan hilang boleh didakwa kerana kecuaian mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan kerana penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata ada kes pendakwaan terhadap ibu bapa yang didapati cuai terhadap anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian mangsa.

"Berdasarkan seksyen itu, mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

"Ada kes, ibu bapa meninggalkan anak mereka yang berusia kurang 10 tahun bersendirian di rumah dan kanak-kanak itu kemudian didapati hilang.

"Apabila ditemui, kanak-kanak itu didapati sudah meninggal dunia akibat lemas dalam sungai berhampiran rumah keluarga," katanya.

Antara kes yang diambil tindakan oleh polis pada tahun ini, adalah terhadap seorang lelaki berusia 27 yang didapati cuai sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya itu akibat kecederaan di bahagian kepala, di sebuah rumah di Flat Sri Langkawi, Gombak pada Januari lalu.

Lelaki terbabit mengakui bersalah ketika didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Kecuaian meragut nyawa

Siti Kamsiah menegaskan, kecuaian ibu bapa terhadap keselamatan kanak-kanak dianggap suatu kesalahan yang serius kerana boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian.

"PDRM sentiasa membuat kempen kesedaran, program libat urus dan memberi peringatan kepada ibu bapa dan kanak-kanak mengenai bahaya yang ada di sekeliling mereka.

"Antara kaedah yang dilihat paling memberi kesan kepada pencegahan kes kehilangan kanak-kanak adalah sesi PDRM bersama kanak-kanak yang berisiko melarikan diri dari rumah.

"Mereka ini yang membuat keputusan sama ada mahu lari atau tidak, tertekan dan sebagainya, atau mengikut kekasih dan kawan.

"PDRM mahu memastikan mereka faham kesan tindakan yang diambil, risiko dan bahaya yang menanti jika bertindak lari rumah," katanya.

Beliau berkata, PDRM turut melakukan rondaan sekitar kawasan perumahan, kedai, sekolah bagi memantau dan membuat siasatan awal jika anggota terlihat kumpulan kanak-kanak yang mencurigakan ketika rondaan.

"PDRM melancarkan Portal Kanak-Kanak hilang di laman http://knk2hilang.rmp.gov.my pada Julai 2015 bertujuan memberi peluang kepada masyarakat bersama-sama membantu menjejak kanak-kanak hilang dengan lebih cepat dan berkesan.

"Selain itu, sistem Nur Alert telah ditubuhkan hasil kerjasama PDRM dengan 40 agensi kerajaan khusus untuk kanak-kanak bawah 12 tahun bertujuan membuat hebahan mengenai kes kanak-kanak hilang," katanya.

Berita Harian X