Ahad, 7 Mei 2023 | 10:43am
Foto hiasan
Foto hiasan

Sabah belum ada permohonan tutup sekolah cuaca panas

MEMBAKUT: Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan berkenaan permohonan untuk menutup mana-mana sekolah di Sabah susulan cuaca panas yang melanda negara, ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi mendapatkan perkembangan semasa berhubung perkara terbabit.

"Setakat ini belum ada (laporan mengenai penutupan sekolah) tetapi saya sentiasa berhubung dengan pengarah JPNS dari semasa ke semasa.

"Saya berharap semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua dan guru besar dapat memberikan maklumat berhubung dengan keadaan cuaca di kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Pimping, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Arifin turut memaklumkan, pihaknya juga meminta pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk menyelaras prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sekolah agama di bawah kendalian jabatan itu.

"Saya juga meminta pengarah JHEAINS yang bertanggungjawab terhadap Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) menyelaraskan SOP dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Mudah-mudahan kita dapat selaraskan (SOP untuk sekolah agama negeri) kerana ini penting demi keselamatan murid dan pelajar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan KPM mengeluarkan surat siaran pekeliling yang membenarkan pentadbir untuk menutup sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Berita Harian X