Sabtu, 6 Mei 2023 | 5:29pm

Kerajaan Persekutuan hanya terbabit projek LRT, bukan tambakan pulau

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Persekutuan tidak akan mempertimbangkan pembinan depoh Transit Aliran Ringan (LRT) di pulau yang akan ditambak dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) seperti dicadang dalam laporan kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata apa sahaja laporan yang dibuat kerajaan negeri sebelum ini akan dijadikan rujukan namun pihaknya tidak tertakluk atau terikat dengan mana-mana laporan itu.

Beliau berkata, ini kerana secara prinsip Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih pelaksanaan LRT daripada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi membolehkan projek itu dimulakan dengan kadar segera.

"Kita akan melihat kemungkinan depoh untuk sistem LRT akan dibina secepat mungkin di kawasan sedia ada di Pulau Pinang dan kita akan cari tapak bersesuaian jadi itu tidak terikat dengan penambakan.

"Sebelum ini apa yang dicadangkan ialah depoh LRT itu akan terletak di pulau yang akan ditambak," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah dana dalam satu skim besar kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi membolehkan projek LRT segera dilaksanakan di negeri itu.

Loke berkata, dalam aspek pembangunan pengangkutan negara, kerajaan turut memberi fokus terhadap kawasan perbandaran di negeri-negeri lain selain Lembah Klang yang mengalami kesesakan lalu lintas dan kepadatan penduduk dengan Pulau Pinang dilihat mempunyai keperluan mendesak dalam sistem berasaskan LRT.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan bersedia membiayai projek LRT dan akan mengadakan perbincangan bagi menentukan dan memperincikan model serta mekanisme pembiayaan bersesuaian.

"Saya juga nak tegaskan Kerajaan Persekutuan hanya terlibat dengan projek LRT, dari segi penambakan laut bukan di bawah bidang kuasa atau bukan di bawah pertimbangan kerajaan.

"Itu sebabnya Perdana Menteri meminta kerajaan negeri supaya mengkaji semula penambakan laut dan juga mungkin memperkecilkan skop penambakan seperti disebut beliau (dalam ucapan) tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyifatkan projek LRT itu sebagai hadiah terbaik Aidilfitri buat rakyat dan negeri Pulau Pinang dan merupakan berita yang ditunggu sejak sekian lama.

"Rancangan Projek LRT dari Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) ke Bayan Lepas sudah diusahakan sejak 2015 meskipun ada tekanan termasuk dari rakyat sendiri tapi kita tidak berputus asa dan menyerah (kalah).

"Berkat kesabaran dan kejujuran akhirnya kerajaan (pusat) terbuka hati melihat keperluan kita jadi saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri," katanya.

Kon Yeow sebelum ini pernah mengumumkan depoh utama LRT akan dibangunkan di Pulau A yang kini dikenali sebagai 'Silicon Island' dan merupakan satu daripada tiga pulau buatan dalam projek PSI.

Berita Harian X