Sabtu, 6 Mei 2023 | 4:32pm

'Saya sudah serah wang bayar saman fitnah pada minggu lalu'

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah menyerahkan wang kepada peguamnya pada minggu lalu untuk membayar saman fitnah terhadap Datuk Mahfuz Omar.

Susulan itu, beliau berkata, tindakan Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, meminta bayaran itu menerusi media sosial sebelum ini hanya untuk menumpang popularitinya saja berikutan nama Mahfuz kini sudah tenggelam.

"Saya sudah serahkan duit kepada peguam seminggu lalu dan peguam saya sedang urus dengan peguam Mahfuz. Sebab itu, saya kata hal ini adalah urusan peguam sebab kita sudah lantik peguam.

"Jadi, tak payahlah guna Facebook atau TikTok semua tu, tak ada isu bankrap sebab tak bayar, semua diurus peguam...dia hanya nak tumpang populariti saya. Dia sudah tenggelam, kalau (kalah majoriti undi) 31,000 apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.

"Saya dengar dia nak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Pengkalan Kundur. Jadi siapa yang tengah top sekarang, dia nak tumpang orang itulah. Itu strategi politik Mahfuz sejak dulu sampai sekarang," katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan Muhammad Sanusi Nor diminta segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan bakal difailkan ke atasnya.

Mahfuz berkata, jika Muhammad Sanusi terus melengahkan bayaran saman itu, beliau akan berbincang dengan peguam dalam tempoh terdekat untuk tindakan seterusnya termasuk menyita aset Muhammad Sanusi.

Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah kes itu, selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000

Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak akan masuk campur urusan peguam seperti dilakukan Mahfuz.

Katanya, beliau menyifatkan pengaruh politik Mahfuz juga sudah tumpul sehingga memaksa beliau 'mencakar' orang berpengaruh.

"Dulu dia 'cakar' Tun Dr Mahathir Mohamad. Siapa yang popular dia akan pergi cakuk. Jadi saya serah kepada pengundi untuk menilai tokoh politik itu," katanya.

Muhammad Sanusi (tengah) bergambar bersama tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut hari ini. - NSTP/Syaharim Abidin
Muhammad Sanusi (tengah) bergambar bersama tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut hari ini. - NSTP/Syaharim Abidin
Berita Harian X