Sabtu, 6 Mei 2023 | 1:34pm

Kerajaan Perak utuh, ADUN jangan terpedaya

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menegaskan kerajaan negeri itu akan utuh sehingga tamat tempoh, sekali gus menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak terpedaya dengan tawaran dan melompat parti sehingga menjejaskan masa depan politik masing-masing.

"Kalau (memang) ada empat ADUN kerajaan yang terkesima atau teruja dengan mana-mana tawaran, fikirlah banyak kali sebab apabila kamu lompat parti, maka kamu gugur sebagai ADUN dan sudah tidak boleh bertanding lagi.

"Elok-elok dapat elaun RM11,000 sebulan sebagai ADUN...kemudian letak jawatan. Kita kena cerdik sebagai orang politik dan jangan mudah-mudah untuk termakan ya (tawaran)," katanya.

Beliau mengulas khabar angin mengenai empat ADUN kerajaan negeri yang akan meletak jawatan, sekali gus menyebabkan Kerajaan Perpaduan negeri Perak antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti dalam DUN dan terpaksa mengadakan semula Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi BN Perak menolak kemungkinan kepemimpinan kerajaan negeri Perak akan bertukar dan hasrat membentuk kerajaan baharu oleh pembangkang di Perak tidak boleh tercapai jika gabungan BN-PH masih memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi DUN yang dikosongkan itu.

"Apabila empat kerusi DUN diisytihar kosong dan perlu pilihan raya semula, saya akan letak balik empat orang calon daripada parti gabungan BN-PH.

"Apabila pilihan raya semula, ada kemungkinan juga saya (BN-PH) menang semula di dua daripada empat kerusi kosong terbabit, maka dengan itu kita balik jadi kerajaan semula. Jadi, kena nak buat kerja macam itu? Lebih baik kekal," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MK Land dan Majlis Pelancaran Jualan Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 di Taman Meru Perdana 2, Meru Raya, di sini, hari ini.

Saarani, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengakui, beliau mengetahui mengenai desas-desus usaha menggulingkan kerajaan Perak itu sejak tiga minggu lalu, namun menolak perkara itu bakal berlaku.

Beliau berkata, rentetan itu, pertemuan diadakan antara beliau bersama lapan lagi ADUN BN Perak untuk memeriksa jika ada antara sembilan ADUN terbabit 'berpaling tadah'.

"Daripada sembilan ADUN BN, empat mempunyai jawatan iaitu seorang Menteri Besar serta tiga Exco kerajaan negeri. Lima lagi ADUN yang tiada jawatan, saya periksa mereka siapa yang sudah lari (berpaling) dan ia tak ada.

"Jadi, Insya-Allah kerajaan ini akan kukuh sehingga tamat tempoh," katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu, kerajaan Perak ditubuhkan dengan gabungan 24 ADUN daripada PH bersama sembilan ADUN BN, yang membentuk majoriti 33 kerusi DUN.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi DUN, memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mana-mana parti politik meraih majoriti mudah. Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi DUN pada PRU15 lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua dari kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya (kanan) melihat model rumah teres setingkat Carnelian 2 pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MK Land dan Majlis Pelancaran Jualan Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 di Taman Meru Perdana 2, Meru Raya, Chemor, Perak. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua dari kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya (kanan) melihat model rumah teres setingkat Carnelian 2 pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MK Land dan Majlis Pelancaran Jualan Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 di Taman Meru Perdana 2, Meru Raya, Chemor, Perak. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X