PUTRAJAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk R Ramanan memberi jaminan sebarang penyelewengan membabitkan dana agensi itu tidak akan berulang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, MITRA kini lebih telus dan berintegriti dalam setiap pengagihan dananya kepada kumpulan sasar.
"Saya boleh beri jaminan bahawa MITRA tidak akan ada apa-apa (kaitan) dengan penyelewengan. Tidak perlulah risau, kami akan telus," katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu siasatan oleh pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas MITRA sebelum ini.
Ramanan menegaskan, beliau dan pasukannya dilantik oleh Perdana Menteri untuk memastikan segala proses di MITRA dilaksanakan dengan telus serta mengikut prosedur.
"(Mengenai siasatan) setakat di MITRA, saya tidak tahu yang sebelum ini. Kami dilantik oleh Perdana Menteri bukan sebagai pegawai penyiasat, bukan hakim, bukan polis, kami dilantik di sini untuk menolong kaum India," katanya.
Bagi memastikan tatakelola serta tadbir urus yang telus, setiap mesyuarat disertai seorang pegawai daripada SPRM dan Unit Integriti. Pegawai berkenaan akan melihat dan membuat penilaian serta memberi maklum balas sewajarnya.
"Dengan hati terbuka, mereka bantu kami. Kami menerima maklum balas dan mereka memberi penilaian kepada kami.
"Apa yang penting, tak perlulah risau kerana kami sangat telus dan semua penerima, nama mereka akan dipamerkan di laman web MITRA di www.mitra.gov.my.
"Itu antara garis panduan yang ditetapkan bahawa semua penerima memberi kami kebenaran untuk pamer nama mereka sebagai bukti kami mengeluarkan dana terbabit," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, sebanyak 1,227 permohonan geran kewangan membabitkan nilai lebih RM400 juta diterima MITRA setakat ini daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Berkaitan permohonan geran kewangan MITRA, dimaklumkan bahawa permohonan itu sudah dilanjutkan sehingga jam 5 petang 28 Mei ini.
"Setakat semalam, sebanyak 1,227 permohonan bernilai RM443,002,019 diterima secara dalam talian dan kita akan membuat penilaian terhadap setiap permohonan," katanya.
1,227 mohon geran kewangan MITRA berjumlah lebih RM400 juta
Sementara itu, Ramanan berkata 1,227 permohonan geran kewangan membabitkan nilai lebih RM400 juta diterima MITRA setakat ini dan permohonan itu membabitkan pelbagai pihak termasuk NGO.
"Berkaitan dengan permohonan geran kewangan MITRA, adalah dimaklumkan bahawa permohonan itu sudah dilanjutkan hingga jam 5 petang 28 Mei ini.
"Setakat semalam, 1,227 permohonan bernilai RM443,002,019 diterima secara atas talian dan kita akan membuat penilaian terhadap setiap permohonan," katanya.
Ramanan berkata, pengagihan dana itu akan dibuat berdasarkan 'first come first serve' dan setiap penerima akan diminta menandatangani akujanji.
Jika didapati penerima gagal menggunakan geran dengan melaksanakan seperti yang terdapat dalam permohonan mereka atau menyalahguna dana diberikan, MITRA akan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
"Kita akan pantau secara berkala setiap penerima yang menerima geran kewangan ini," katanya.
MITRA juga katanya, akan memperkenalkan Program Subsidi Bantuan Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi pelajar masyarakat India B40 di Universiti Awam (UA).
Program itu berupa subsidi secara 'one-off' bernilai RM2,000 kepada 10,000 pelajar dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM20 juta. Permohonan akan dibuka mulai Isnin ini sehingga 15 September depan.
"MITRA juga akan melaksanakan Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) membabitkan bantuan subsidi RM200 sebulan meliputi yuran tadika dan sarapan pagi untuk setahun.
"Seramai 4,500 kanak-kanak B40 akan menerima manfaat ini, di mana anggaran perbelanjaan dijangkakan sebanyak RM10.8 juta," katanya.
Program Inisiatif Kesejahteraan Sosial pula membabitkan subsidi bantuan dialisis dengan menyasarkan seramai 900 pesakit kronik buah pinggang. Sebanyak RM8.64 juta diperuntukkan bagi program berkenaan.