Jumaat, 5 Mei 2023 | 9:37am
Kesesakan pada waktu puncak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Kesesakan pada waktu puncak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Formula baharu waktu pertukaran syif Imigresen, atasi kesesakan di Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan formula baharu pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat membabitkan Tambak Johor dan Gelang Patah, bagi memastikan semua kaunternya dibuka ketika waktu puncak.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata langkah melaksanakan formula baharu itu amat penting bagi memastikan tiada kesesakan berlaku ketika waktu puncak, berikutan tiada kakitangan di kaunter disebabkan berlakunya pertukaran syif pekerja.

"Isu berbangkit di dua pintu masuk laluan darat membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah adalah isu pertukaran syif kakitangan Imigresen pada jam 7 pagi.

"Ia dibangkitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi beberapa tinjauan yang dilakukan bersama JIM.

"Kita akui waktu pertukaran syif jam 7 pagi itu adalah waktu kritikal berikutan waktu puncak di kedua-dua pintu masuk laluan darat adalah bermula jam 5 hingga 8 pagi. Sebarang pertukaran syif di waktu puncak diakui berupaya merencatkan keupayaan kaunter terus dibuka sekali gus akan menyebabkan kesesakan.

"Oleh itu, JIM sedang meneliti formula baharu pertukaran syif jam 7 pagi ini termasuk memperkenalkan formula baharu syif ditukar di luar waktu puncak. Insya Allah, formula baharu ini akan diumumkan minggu hadapan," katanya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh ketika membuat tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh ketika membuat tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau CIQ BSI, di sini, awal pagi tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Salleh dan Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, CIQ BSI kekurangan hampir 300 kakitanganlagi bagi membolehkan JIM melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.

Katanya, ketika ini CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen berbanding keperluan kakitangan iaitu 1,347.

Bagaimanapun, katanya JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI akhir Mei ini susulan sebanyak 231 rekrut Imigresen bakal tamat latihan pada 20 Mei ini.

"Selain 100 kakitangan baharu ditambah di CIQ BSI, sebanyak 700 perjawatan baharu Imigresen sudah diluluskan kerajaan tahun ini dengan sebahagian besarnya akan diletakkam di CIQ BSI, KSAB selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mengalami kekurangan kakitangan.

"JIM juga komited untuk memastikan 100 peratus kaunter dibuka ketika waktu puncak di CIQ BSI dan KSAB malah ia menjadi fokus utama kita bagi mengatasi isu kesesakan kritikal di pintu masuk laluan darat tersibuk di dunia yang terletak di Tambak Johor.

"Bagi memastikan 100 peratus kaunter di BSI CIQ dibuka pada waktu puncak, JIM turut menempatkan sebanyak 20 pasukan tindakan pantas (QRT Team) bagi membolehkan penggantian kakitangan Imigresen dan pembukaan kaunter dilakukan secara maksimum dan tanpa gangguan sepanjang waktu puncak.

"Tambahan 20 lagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut ditempatkan di CIQ BSI bagi membantu dan menyegerakan penyuraian trafik di Tambak Johor bagi mengelakkan berlakunya kesesakan ," katanya.

Datuk Ruslin Jusoh ketika membuat tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Datuk Ruslin Jusoh ketika membuat tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata, proses penggabunggan 38 kaunter di Tambak Johor bagi memendekkan masa urusan setiap kenderaan yang memasuki negara ini sedang giat dilaksanakan.

Katanya, setakat ini sebanyak 19 kaunter sudah selesai menjalani penggabungan membabitkan urusan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan proses Touch N Go, sekali gus mampu memendekkan urusan dokumentasi masuk ke negara ini di bawah empat minit.

"Sebanyak 19 kaunter lagi sedang giat menjalani proses penggabungan yang dijangka siap tahun ini juga.

"Selain itu, penambahan 20 'autogate' sedang dilaksanakan sehingga Julai ini selain penambahan ruang bas yang dijangka selesai hujung bulan di CIQ BSI.

"Penambahan 33 kaunter 'Mbike' lagi turut sedang dilaksanakan KSAB ketika ini," katanya.

Sekitar tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Sekitar tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Pekerja Malaysia berulang alik ke Singapura setiap hari melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. Foto fail NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pekerja Malaysia berulang alik ke Singapura setiap hari melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. Foto fail NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Tinjauan lalulintas keluar masuk dari Singapura dan Johor Bahru, di Tambak Johor. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Tinjauan lalulintas keluar masuk dari Singapura dan Johor Bahru, di Tambak Johor. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Berita Harian X