Khamis, 4 Mei 2023 | 4:15pm
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri tiba di London atas jemputan Raja Charles III hari ini. - Foto ihsan Facebook Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri tiba di London atas jemputan Raja Charles III hari ini. - Foto ihsan Facebook Istana Negara

Agong, Raja Permaisuri tiba di London

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tiba di London sempena lawatan baginda ke bandar terbesar di United Kingdom itu hari ini.

Pesawat khas membawa baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton di London jam 9.30 malam waktu tempatan (4.30 pagi tadi waktu Malaysia).

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut wakil Istana Buckingham, Deputy Lord Lieutenant Elizabeth Slack; Wakil Khas Setiausaha Luar, David Gordon-MacLeod dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar serta isteri, Datin Nor Aini Abdul Rahman.

Lawatan Khas Seri Paduka berdua ke London adalah atas jemputan Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Pemerintah United Kingdom (UK) di Westminster Abbey pada Sabtu ini.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri disambut sebaik tiba di London atas jemputan Raja Charles III hari ini. - Foto ihsan Facebook Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri disambut sebaik tiba di London atas jemputan Raja Charles III hari ini. - Foto ihsan Facebook Istana Negara

Seri Paduka Baginda berdua juga turut dijadual menghadiri Majlis Resepsi dihoskan Raja Charles III di Istana Buckingham esok.

Kali terakhir Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Istana Buckingham pada 12 Oktober tahun lalu sempena kunjungan hormat ke atas Baginda Raja Charles III.

Kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London antara 10 hingga 16 Oktober 2022.

Berita Harian X