Khamis, 4 Mei 2023 | 1:59pm

Muhyiddin, Hadi perlu isytihar tak terbabit komplot jatuhkan Kerajaan Perpaduan - Kit Siang

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang diingatkan supaya akur dengan peringatan dititahkan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu yang mahukan kestabilan politik negara diletakkan sebagai paling utama.

Ingatan itu disuarakan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang turut menggesa Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Abdul Hadi selaku Presiden PAS mengisytiharkan parti masing-masing patuh kepada peringatan berkenaan, sekali gus tidak terbabit sebarang rancangan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lima tahun akan datang.

"Ini (gesaan Kit Siang) adalah mesej disampaikan Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan baginda ketika perasmian Parlimen ke-15 pada Februari lalu, namun ia tidak diikuti sejak tiga bulan lalu.

"Ia satu ujian sama ada pemimpin politik bersedia membelakangkan kepentingan peribadi dan parti politik mereka demi kepentingan negara," katanya melalui kenyataan yang disiarkan di blognya.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.

Baginda bertitah supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya diutamakan.

Sultan Ibrahim menegaskan rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

Kit Siang ketika merujuk titah Sultan Johor itu, berkata baginda menyuarakan kebimbangan kerana 222 Ahli Parlimen masih tidak dapat bersepakat demi kepentingan kestabilan politik di negara ini.

Katanya, Sultan Ibrahim juga bertitah sebarang usaha untuk mengancam kestabilan politik adalah tidak sihat kepada negara sama ada dari segi sosial, ekonomi dan kedudukan negara di persada antarabangsa.

Anwar sebelum ini dilaporkan tidak menolak wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, namun menegaskan ia sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, Perdana Menteri meminta semua pihak tidak melayan pihak yang ingin berkomplot menjatuhkan kerajaan.

Beliau berkata, gabungan empat parti politik utama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah cukup kuat dan berupaya untuk menangkis komplot menjatuhkan kerajaan, selain sudah menyatakan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

Berita Harian X