Rabu, 3 Mei 2023 | 7:03pm

Malaysia berhak tentukan sebarang dasar dalam negara

PUTRAJAYA: Malaysia sebagai negara berdaulat berhak menentukan sebarang dasar dalam negara tanpa kacau ganggu daripada pihak lain, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada amaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) terhadap keselamatan negara sekiranya menggunakan kelengkapan 5G keluaran Huawei.

Fahmi berkata, sebarang keputusan dibuat kerajaan akan mendatangkan manfaat kepada rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi serta keadaan yang harmoni dengan isu antarabangsa.

Justeru, katanya pertemuan dengan duta-duta asing susulan amaran itu akan diadakan bagi memperjelaskan keputusan kerajaan Malaysia dalam pelaksanaan 5G.

"Saya percaya setelah adakan perbincangan dengan pihak terbabit mereka faham pendirian Malaysia," katanya dalam sidang media mengenai inisiatif 5G di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan EU dan AS memberikan amaran kepada Malaysia berlakunya risiko keselamatan negara sekiranya menggunakan kelengkapan 5G keluaran Huawei.

Amaran dihantar kepada kerajaan Malaysia pada April dengan kelengkapan 5G Huawei didakwa bukan sahaja mendatangkan risiko sekuriti kebangsaan tetapi juga ke atas pelaburan dari negara luar di Malaysia.

Huawei antara syarikat yang membida untuk kelengkapan 5G mereka digunakan selepas kerajaan Malaysia ingin mengkaji semula kontrak RM 11 bilion yang diberikan kepada Ericsson untuk kelengkapan Digital Nasional Bhd (DNB).

Hari ini, Fahmi berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

-BERNAMA

Berita Harian X