GEORGETOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengakui tidak tahu menahu terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak berpuas hati dengan pentadbirannya sebagai Ketua Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbirannya sepanjang menjawat jawatan itu.
"Mereka yang 'tidak gembira', saya tidak tahu siapa kerana mereka tidak pernah menunjukkan rasa 'tidak gembira' (tidak berpuas hati) kepada saya," katanya ketika ditemui selepas sidang media Pembangunan Topside Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) di Kompleks Tun Abdul Razak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kononnya terdapat desakan dalam DAP untuk menyekatnya kembali menjadi Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Laporan portal berita itu turut mendakwa, terdapat perancangan membawa Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri.
Laporan itu menyatakan terdapat tiga ADUN yang enggan dinamakan dalam temu bual berkenaan mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.
Kon Yeow, yang juga ADUN Padang Kota itu dalam reaksi tenang menyifatkan laporan itu sesuatu yang baharu buat dirinya.
"Sebab itu saya tak baca lagi, saya pun tak tahu apa yang dilaporkan. Ini memang berita baru kepada saya.
"Tapi, saya akan jawab. (Cuma) bukan hari ini (kerana) saya pun tak baca. Kalau tak baca, nak jawab tak adil jugalah," katanya.
Ditanya sama ada Guan Eng boleh kembali dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pindaan Perlembagaan Pulau Pinang pada 2018, beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Pulau Pinang, Yang di-Pertua Negeri akan melantik seorang Ketua Menteri yang mendapat sokongan majoriti selepas tamat pilihan raya.
"Tetapi pada 2018, ada pindaan dengan memasukkan satu sub frasa baharu yang menyatakan Yang di-Pertua Negeri perlu melantik tetapi orang yang dilantik itu tidak boleh dilantik jika pada bila-bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri untuk dua penggal.
"Itu pindaan perlembagaan yang dibawa dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN). Itu saya boleh jawab sebab itu satu pengetahuan awam," katanya.
Menjawab persoalan mengenai harapan beliau pada PRN, termasuk dilantik semula sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow berkata, harapan beliau ketika ini adalah untuk membawa PH memenangi PRN terlebih dahulu.
Sebagai rekod, Guan Eng, yang juga ADUN Air Putih selama tiga penggal pernah menjadi Ketua Menteri selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.