PUTRAJAYA: DAP mengesahkan pihaknya tidak pernah menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendesak supaya Pengerusi parti itu, Lim Guan Eng, kembali menerajui kerajaan Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata gesaan dan desakan itu sebaliknya disifatkannya sebagai khabar angin semata-mata.
"Saya tidak menerima apa-apa gesaan, itu khabar angin sahaja dan tidak tahu daripada siapa.
"Dikatakan (desakan itu) daripada tiga ADUN, tapi saya tidak pernah terima apa-apa memorandum atau surat daripada mana-mana ADUN," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Sebuah portal hari ini melaporkan terdapat desakan dalam DAP dikatakan bertujuan menyekat ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow, daripada terus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Tiga ADUN yang dikatakan sebagai perancang gerakan itu mahukan Guan Eng kembali bertanding dalam PRN di Pulau Pinang menerajui kerajaan negeri.
Dalam pertemuan bersama portal itu semalam, ketiga-tiga ADUN yang enggan dinamakan itu mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai ketua menteri.
Dalam perkembangan berasingan, Loke ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, bahawa bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan patut menyertai DAP kerana parti itu ketiadaan calon perdana menteri, berkata itu hanya pandangan peribadi pemimpin berkenaan.
"Kenyataan dibuat itu pandangan peribadi Kian Ming, saya tidak mahu ulas pandangan peribadi beliau itu," katanya.