JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempergiat tinjauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, bagi memastikan isu kesesakan di situ dapat diatasi.
Onn Hafiz berkata, beliau yakin pemantauan dan koordinasi yang baik akan dapat mengurangkan isu kesesakan di CIQ BSI.
"Syukur Alhamdulillah. Awal pagi tadi saya sempat meninjau lagi keadaan di CIQ BSI.
"Saya yakin bahawa pemantauan dan koordinasi yang baik dapat mengurangkan isu kesesakan ini. Selain itu, saya juga berharap supaya kerja-kerja penyelenggaraan di BSI dapat dilakukan dengan lebih efisien.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pegawai imigresen dan kastam, petugas PDRM, RELA, JKR dan semua pihak yang membantu bagi mengurangkan kesesakan.
"Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua," katanya dalam kenyataan dimuatnaik dalam akaun Facebook, hari ini.
Semalam, Kerajaan Johor dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu kesesakan yang berlaku di CIQ BSI, di sini, serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
Onn Hafiz dilaporkan berkata, Johor dan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memperbaiki serta menambah baik sistem sedia ada, sekali gus mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Antara inisiatif baharu yang dibincangkan dari segi isu teknikal di BSI ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi pemantauan kaunter, penggabungan kaunter, ubah suai e-gate, 'Automatic Land Barrier' (ALB), penambahan bumbung di MBike dan penyelenggaraan pendingin hawa.
Di KSAB pula membabitkan penambahan bumbung di MBike, penambahbaikan bumbung di dewan penumpang, mengkaji semula pemasangan penghadang jalan bagi tujuan penyuraian trafik sebelum sampai ke 'checkpoint', penambahbaikan papan tanda arah dan mengkaji keperluan penyediaan bas ulang-alik dari RnR (rehat dan rawat) ke KSAB bagi mengelakkan kenderaan masuk ke laluan bas.
Bagi menangani isu sumber manusia di BSI dan KSAB, hasil mesyuarat telah bersetuju untuk mengkaji semula waktu pertukaran syif semasa waktu puncak dan menyelesaikan isu kekurangan staf imigresen.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata, komitmen dan iltizam tinggi Menteri Besar terhadap CIQ BSI fan KSAB adalah bagi memastikan masalah yang telah berlarutan puluhan tahun ini dapat diselesaikan secara tuntas.
Katanya, walaupun isu di dua pintu masuk utama itu membabitkan pelbagai agensi serta jabatan persekutuan, namun berkat usaha kerjasama erat semua pihak, beliau yakin hasrat murni Menteri Besar itu pasti dapat direalisasikan.
"Beberapa langkah penambahbaikan seperti isu-isu teknikal membabitkan semua kaunter telah dilakukan. Begitu juga projek lain turut dipantau rapat oleh saya melalui mesyuarat mingguan serta laporan progres kerja berkala.
"Saya yakin, niat yang baik ini akan berjaya dan dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya.