KOTA BHARU: Peningkatan pelbagai peranti teknologi seperti televisyen, telefon pintar, gajet dan penggunaan komputer, banyak menyumbang kepada permasalahan obesiti dalam kalangan remaja negara ini, sehingga mereka tidak minat bermain di luar rumah.
Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Razlina Abdul Rahman, berkata penggunaan skrin kepada anak-anak sepatutnya tidak melebihi dua jam sehari, namun kini mereka sudah terbiasa menghabiskan masa di antara tujuh hingga lapan jam sehari di hadapan skrin.
Katanya, amalan yang suka makan makanan segera sambil menonton, juga menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan berat badan.
"Selain itu, amalan jadual makan yang tidak teratur juga boleh menyumbang kepada obesiti apabila remaja cenderung untuk makan berlebihan kerana terlalu lapar setelah terlepas waktu makan yang sepatutnya.
"Hal ini akan memberi kesan jangka panjang yang ketara yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolestrol yang tinggi.
"Gabungan ketiga-tiga penyakit ini termasuk kegemukan dipanggil 'Sindrom Metabolik' yang meningkatkan lagi risiko untuk golongan remaja mendapat penyakit jantung di usia muda," katanya dalam kenyataan.
Dr Razlina berkata, remaja obes yang mempunyai lemak di sekeliling leher, boleh mengalami masalah 'obstructive sleep apnea' iaitu kekurangan oksigen semasa tidur disebabkan rongga pernafasan yang tersekat menyebabkan mereka berdengkur, sukar bernafas dan berhenti bernafas ketika tidur.
"Hal ini juga sekaligus mengganggu kualiti tidur mereka mengakibatkan mereka mengantuk dan keletihan di waktu siang," katanya.
Katanya, selain itu, remaja perempuan juga cenderung mengalami masalah peredaran haid tidak normal dan gangguan hormon yang boleh menyebabkan masalah kesuburan apabila dewasa.
"Mereka yang obesiti juga berisiko untuk menghidap penyakit hati berlemak selain memberi kesan kepada kesihatan mental remaja dan hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana masalah ini akan memberi kesan sehingga mereka dewasa.
"Remaja obesiti berisiko berhadapan dengan masalah buli, ejekan dan diskriminasi yang boleh membawa kepada masalah imej badan yang seterusnya menyebabkan masalah pemakanan seperti bulimia dan aneroksia.
"Mereka juga akan mengalami masalah kebimbangan, kurang keyakinan diri dan kemurungan yang boleh membawa kepada idea untuk membunuh diri," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, remaja dikategorikan sebagai obes jika mempunyai lemak terkumpul yang berlebihan dalam badan dan kiraan 'body mass index' (BMI) melebihi 27.5 ke atas.
"Bagi faktor genetik, ia sebenarnya membabitkan peratusan yang amat rendah dan hanya remaja yang mewarisi penyakit berkenaan daripada ibu bapa mereka.
"Faktor yang lebih besar adalah daripada segi psikososial seperti pemilihan jenis makanan yang mempunyai kandungan tenaga yang tinggi dan amalan pengambilan saiz hidangan yang besar. Ibu bapa yang membiasakan anak-anak makan hingga terlalu kenyang sebenarnya mendedahkan anak anak mereka kepada amalan pengambilan makanan berlebihan dari tahap metabolisma badan," katanya.
Dr Razlina menasihatkan agar semua kanak-kanak dan remaja berusaha dalam memperbaiki tahap kesihatan dengan mengawal pemakanan, mengurangkan penggunaan skrin serta banyakkan beriadah.
"Ibu bapa perlu memain peranan dalam menunjukkan sokongan dengan menyediakan pelbagai menu sihat dan menarik serta turut sama melakukan aktiviti bersama keluarga dan sentiasa konsisten dalam mengamalkan gaya hidup sihat bersama anak-anak," katanya.
Masalah obesiti atau kegemukan telah menjadi satu epidemik di peringkat dunia. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan bilangan kanak-kanak bawah usia lima tahun yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes meningkat daripada 42 juta kepada 70 juta dalam dekad seterusnya.