KUANTAN: Terpengaruh dengan pelawaan rakan mendorong seorang remaja menggunakan dadah bagi
menenangkan fikiran yang dikatakan, menjadi pelengkap dunia muda.
Keseronokan terlarang itu akhirnya membawa Amir (bukan nama sebenar), kini berusia 27 tahun, meringkuk dalam Penjara Penor kerana kesalahan memiliki dan menggunakan dadah jenis ganja.
Amir yang pernah bekerja dalam sektor perhotelan, berkata dia mula terbabit dengan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini ketika berusia belasan tahun ketika di bangku sekolah.
Katanya, berkawan dengan rakan 'liar' menjadi faktor utama dia terbabit dengan dadah walaupun memiliki kerjaya dalam sektor perhotelan dan berpendapatan lumayan.
"Bermula sebagai penagih, kemudian saya terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan untuk kegunaan sendiri, selain memenuhi permintaan rakan penagih.
"Episod keseronokan yang dilalui tidak kekal lama, pada 2017 saya ditangkap kerana memiliki dadah dan positif ujian air kencing. Hukuman dikenakan sembilan tahun penjara dan 10 sebatan," katanya ketika ditemui di Penjara Penor, baru-baru ini.
Amir berkata, sengsara terhadap hukuman yang diterima bermula apabila dikenakan hukuman rotan pada 2018, dia hampir pengsan selepas melalui hukuman.
"Kesakitan dirotan sukar dicerita terutama apabila sakitnya seolah-olah masih terasa hingga kini," katanya.
Katanya, selepas lebih lima tahun menghuni tirai besi Penjara Penor keinsafan mula berputik di hati, dia menyesal dengan perbuatan lalu dan berjanji tidak akan mengulanginya selepas dibebaskan nanti.
Amir berkata, sokongan keluarga yang datang melawatnya di penjara menambahkan semangat untuk kembali ke pangkal jalan.
Kisah hitam dilalui sebelum ini akan menjadi sejarah pahit yang akan menjadi landasan meneruskan kehidupan mendatang.
Menurutnya, sepanjang berada di Penjara Penor dia memenuhi masa terluang dengan belajar agama selain aktiviti di bengkel Tenun Pahang Diraja. Program disediakan pihak penjara amat berkesan setiap banduan.
"Aidilfitri lalu, kali keenam saya menyambutnya bersama rakan banduan dalam Penjara Penor, perasaan sayu dan sedih terasa apabila teringatkan keluarga serta hidangan istimewa pagi Syawal.
"Saya reda dengan apa yang berlaku hari ini dan yakin ada hikmah di sebaliknya. Ia diharap dapat memberi pengajaran berguna sebagai bekalan masa hadapan supaya tidak tersilap lagi.
"Nasihat saya pada golongan remaja supaya memilih rakan dan tidak cuba menghampiri dadah kerana akibatnya amat buruk dan merugikan diri sendiri," kata anak bungsu daripada lima beradik itu.