KUALA LUMPUR: Kedudukan Kerajaan Perpaduan tetap kukuh walaupun ada konspirasi menjatuhkan kerajaan berdasarkan jumlah kerusi ahli Parlimen kerajaan yang kini melebihi majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Namun, penganalisis politik memberi amaran Kerajaan Perpaduan perlu mengukuhkan kedudukan dengan memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan seawal Julai ini.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berpandangan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan akan 'mati' dengan sendirinya jika keputusan PRN menyaksikan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) 'menjadi' di tiga negeri dikuasai PH dan tiga negeri pembangkang.
Katanya, jika pengundi memberikan kemenangan kepada BN-PH pada PRN nanti, terutama di tiga negeri Melayu, bermakna orang Melayu sudah bersedia dengan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dengan sendirinya ini akan mematikan konspirasi, maka 15 Ahli Parlimen UMNO yang didakwa dalam konspirasi ini berani meletakkan jawatan mereka, tidak akan berbuat demikian kerana Perikatan Nasional (PN) sudah tewas dan BN-PH lebih kuat berbanding kerjasama BERSATU dan PAS," katanya kepada BH.
Beliau mengulas kedudukan kerajaan ketika ini selepas Perdana Menteri tidak menolak wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Semalam, Anwar menegaskan konspirasi itu sebagai tidak berasas dan meminta semua pihak supaya tidak melayan pihak yang ingin berkomplot menjatuhkan kerajaan.
Beliau menegaskan gabungan empat parti politik utama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah cukup kuat dan berupaya untuk menangkis komplot menjatuhkan kerajaan selain sudah menyatakan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Azmi menjelaskan konspirasi yang berlegar kini kerana kedudukan BN itu sendiri yang kini dikatakan terbahagi kepada dua kumpulan, yang mana hampir separuh menyokong PN dan selebihnya menyokong Anwar.
Katanya, faktor kedua wujudnya konspirasi kesan gelombang hijau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang masih dirasai.
"Dua faktor yang dikaitkan ini dikatakan ada ura-ura mereka dalam BN terutama UMNO yang kini menyokong PN sanggup dan berani untuk melompat parti dengan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen dan keluar parti.
"Apabila ini berlaku, mereka akan hilang kerusi mereka dan mereka percaya dengan adanya faktor gelombang hijau ini mereka akan menang semula apabila bertanding kembali," katanya.
Azmi tidak menolak kemungkinan jika 15 ahli parlimen BN meletak jawatan, kedudukan Kerajaan Perpaduan masih kukuh, namun hakikatnya akan mewujudkan teori dominan membabitkan sokongan daripada parti GPS dan GRS.
"GPS dan GRS boleh menukar arah menyokong PN atau mereka juga boleh tidak menyokong mana-mana gabungan parti. Ini konpirasi yang sedang bertiup kencang kerana faktor dalaman BN dan faktor gelombang hijau itu sendiri," katanya.
Pada masa sama, katanya akta berkaitan lompat parti tidak menegah mana-mana ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meletak jawatan untuk bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya.
"Perkara ini (tidak boleh bertanding semula) sudah dihapuskan dengan adanya akta lompat parti ini, menyebabkan ahli Parlimen berani untuk hilang kerusi mereka dan bertanding semula," katanya.