Selasa, 2 Mei 2023 | 4:22pm
Empangan Ulu Seperi. - Foto fail
Empangan Ulu Seperi. - Foto fail

Kapasiti air tujuh empangan di Negeri Sembilan melepasi 90 peratus

SEREMBAN: Paras air di semua tujuh empangan di Negeri Sembilan masih terkawal dan baik iaitu melebihi tahap 90 peratus dan diyakini tidak akan menghadapi masalah bekalan air dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata malahan sebahagian besar kawasan di Negeri Sembilan menerima hujan yang lebat hampir setiap hari.

"Insya-Allah bekalan air mencukupi di Negeri Sembilan setakat ini kerana keadaan semua tujuh empangan dalam keadaan baik dengan melebihi paras 90 peratus.

"Mungkin di Jempol suhunya tinggi dan saya sudah meminta penduduk Jempol supaya jaga kesihatan dan berada di kawasan teduh.

"Jangan terdedah terlalu lama di kawasan terbuka atau melakukan aktiviti di luar rumah dengan kerap kerana cuaca yang panas, bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Wisma MBS, di sini, hari ini.

Setakat hari ini, tujuh empangan di negeri ini dengan empat daripadanya berada dalam keadaan kapasiti air 100 peratus iaitu Empangan Talang, Empangan Pedas, Empangan Gemencheh dan Empangan Ulu Seperi.

Dua empangan lagi berkapasiti melebihi 95 peratus manakala sebuah melebihi 94 peratus.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi kawasan Padang Terap di Kedah dan Jempol di Negeri Sembilan.

Dua kawasan terbabit mencatatkan gelombang haba tahap kuning setakat petang 4.20 petang semalam iaitu merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah celsius.

Aminuddin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai petani dan peladang yang menghadapi masalah susulan keadaan cuaca yang panas.

Beliau berkata, pihaknya lega kerana Negeri Sembilan tidak berhadapan dengan masalah cuaca kering seperti dialami di sesetengah negeri terutama di utara Semenanjung.

"Kita berharap keadaan ini berterusan dan Negeri Sembilan dalam keadan terbaik," katanya.

Mengenai pemakaian pelitup muka dalam kalangan murid sekolah berikutan kebimbangan penularan wabak COVID-19 dan situasi jerebu, Menteri Besar berkata, setakat ini keadaan terkawal.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengikut saranan, garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Kementerian Pendidikan misalnya, sudah menetapkan SOP sekiranya keadaan suhu melebihi 37 celsius melebihi tiga hari sekolah boleh ditutup.

"Jadi, kita ikut SOP yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan saya akan bincangkan keadaan ini dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X