PUTRAJAYA: Kerajaan akan merangka kaedah baharu pelaksanaan gaji minimum bagi memastikan kebajikan setiap pekerja di negara ini terbela, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Mengakui gaji minimum RM1,500 agak rendah, beliau berkata, majikan perlu memastikan gaji untuk pekerja setimpal dengan kemahiran dimiliki mereka dan isu berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang bagi mencari kaedah baharu menetapkan gaji pekerja.
"Penetapan gaji minimum ini penting supaya pekerja boleh menyara kehidupan mereka dengan lebih baik," katanya pada sidang media Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Mengenai sumbangan kerajaan, masing-masing RM1 juta kepada CUEPACS dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diumumkan Perdana Menteri, beliau berkata, ia dapat memberi rangsangan kepada kedua-dua organisasi berkenaan.
Sivakumar berharap sumbangan dana itu dapat memberi semangat kepada dua kesatuan sekerja berkenaan untuk terus berkhidmat memperjuangkan hak pekerja di negara ini.
"Pengumuman sumbangan dana ini berita baik kepada dua pertubuhan gergasi ini yang sentiasa memperjuangkan hak kakitangan awam dan swasta di negara ini," katanya.