Sudah banyak perubahan dalam hak dan kebajikan pekerja di negara ini, termasuk Perintah Gaji Minimum RM1,500 sebulan dan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) berkuat kuasa 1 Januari lalu terutama pengurangan waktu bekerja seminggu, fleksibiliti, penambahan cuti bersalin dan cuti paterniti. Namun, krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19, perang Russia-Ukraine serta ketidaktentuan geopolitik dunia turut menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan inflasi menjadikan langkah panjang itu tidak lagi mencukupi.
Malah, senario semasa merencatkan Perintah Gaji Minimum sehingga bagi kategori majikan dengan kurang lima pekerja ditangguhkan hingga 1 Julai ini, manakala beberapa aspek pindaan Akta Kerja 1955 belum lancar apabila masih ada laporan ketidakpatuhan atau perbezaan tafsiran. Nilai gaji minimum tidak sepadan kenaikan kos sara hidup hingga konsep 'gaji bermaruah' atau gaji progresif dilihat lebih sesuai.
Realitinya, isu pekerja tidak lagi berkisar kuantiti baik gaji atau masa bekerja, sebaliknya kualiti terutama kehidupan pekerja daripada jaringan keselamatan sosial, manfaat sampingan, kesejahteraan fizikal serta mental hingga persaraan kerana Malaysia bakal menjadi negara menua pada 2030.
Begitu juga kesan Revolusi Industri 4.0 terutama kecerdasan buatan (AI) generatif seperti ChatGPT meminimumkan tenaga kerja, sekali gus menjejaskan 300 juta pekerja di seluruh dunia yang pastinya Malaysia tidak terkecuali.
Justeru, sambutan Hari Pekerja tidak lagi boleh didendangkan dengan lagu lama oleh kerajaan, sebaliknya Malaysia perlu kerangka besar melangkaui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025, bahkan menjamin pekerjaan dan kehidupan pekerja berkualiti termasuk pada masa depan.
Kedudukan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sebagai badan tertinggi tentukan hala tuju dan dasar negara dalam isu pekerja wajar diangkat merentasi kementerian dan babitkan lebih ramai pemegang taruh, manakala penguatkuasaan undang-undang tidak lagi boleh dibuat bermusim atau seperti 'pahat dengan penukul'.
Namun, usaha kerajaan tidak bererti tanpa kerjasama pekerja dan kesatuan mewakili mereka kerana tuntutan tidak lagi boleh berkisar kenaikan gaji, elaun dan bonus, sebaliknya ambil kira suasana dunia sedang alami VUCA, iaitu volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (rumit) dan ambiguity (tidak jelas). Oleh itu, pekerja perlu ada keinginan dan keupayaan tingkatkan kemahiran secara latihan semula, termasuk memanfaatkan inisiatif disediakan kerajaan dengan kesatuan sekerja turut mendorong ahli ke arah itu, sekali gus menongkah arus tradisi sebagai kumpulan pendesak semata-mata.
Dengan pembabitan semua pemegang taruh daripada kerajaan, pekerja dan kesatuan serta majikan, maka hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi pada 2026 dengan kepentingan dan kebajikan sumber manusianya terjamin dapat dicapai.
Selamat Hari Pekerja.