Ahad, 30 April 2023 | 3:25pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sekolah dibenar tutup jika suhu lebih 37 darjah Celcius 3 hari berturut-turut

PUTRAJAYA: Sekolah dibenar untuk ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Garis panduan itu dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam melalui surat siaran pekeliling ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili, susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.

Selain sekolah, surat siaran berkuat kuasa serta-merta itu terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawah KPM jika kawasan mereka diisytiharkan terkesan mengalami gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

"Antara contoh aktiviti luar tidak sesuai dilaksanakan seperti merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian," katanya.

Menurut pekeliling itu, penutupan institusi pendidikan akibat status suhu harian bagi cuaca panas hendaklah dimaklumkan pentadbir kepada pendaftar serta-merta secara lisan dan bertulis menggunakan apa medium yang sesuai.

Surat pemakluman itu hendaklah dilampirkan bersama dokumen sokongan yang menjelaskan tentang proses penilaian risiko dijalankan, sebelum keputusan menutup institusi pendidikan dibuat pentadbir.

Pentadbir juga hendaklah memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga berkaitan penutupan atau pembukaan institusi pendidikan atas sebab status suhu harian dengan segera secara bertulis atau apa-apa medium komunikasi yang sesuai.

Selain itu, KPM berkata, ibu bapa juga dibenarkan membawa anak ke hospital atau balik ke rumah jika didapati tidak sihat ketika di sekolah.

Katanya, pentadbir juga perlu memastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan murid bagi mengelak sebarang risiko berkaitan strok haba berlaku serta penyakit lain.

"Garis panduan ini diharap dapat memastikan pengurusan penutupan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara teratur.

"Malah, dalam mempertimbang penutupan institusi pendidikan juga, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan komuniti institusi pendidikan," katanya.

Menurut pekeliling sama, pentadbir juga perlu menetapkan tarikh hari ganti persekolahan dan memaklumkan tarikh terbabit kepada pendaftar.

Sebelum ini, KPM dalam kenyataan berasingan memaklumkan Institusi di bawah KPM diarah menghentikan aktiviti luar bilik darjah membabitkan murid sekiranya kawasan masing-masing mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Susulan itu juga, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM diarah melaksanakan langkah pencegahan, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas.

Berita Harian X