KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) untuk membatalkan larangan mengimport dan memproses bahan radioaktif di Malaysia selepas 1 Julai 2023, akan diketahui bulan depan.
Perkara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang turut memaklumkan, pendengaran rayuan berkenaan juga sudah selesai.
"Pendengaran rayuan itu sudah selesai dan keputusan akan disampaikan (kepada Lynas) pada pertengahan Mei. Kami memerlukan masa untuk meneliti rayuan mereka," katanya seperti dilaporkan portal FMT, kelmarin.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut mengadakan tribunal tertutup, juga pada kelmarin untuk mendengar rayuan Lynas terhadap empat syarat yang dikenakan terhadap syarikat itu oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
Ia termasuk aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L), penjanaan residu 'water leach purification' (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.
Rayuan itu dilihat usaha terakhir bagi membolehkan pengeluar nadir bumi berkenaan meneruskan operasi di kilangnya di Gebeng, Kuantan, selepas 1 Julai depan.
Mengikut Akta Pelesenan Tenaga Atom, menteri MOSTI mempunyai kuasa untuk memutuskan rayuan Lynas.
Syarikat berkenaan bagaimanapun berulang kali mempertahankan bahawa kilangnya selamat dan memberi amaran bahawa pelaksanaan syarat pelesenan sedemikian akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di Malaysia.
Februari lalu, Lih Kang ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya, memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa rayuan Lynas itu dalam proses pertimbangan.
Untuk rekod, Lynas sudah mencapai sisa radioaktif sebanyak 1.08 juta tan dan dijangka mencecah 1.2 juta tan sehingga Julai 2023.