KITA akan menyambut Hari Pekerja, esok, tetapi masih banyak isu membabitkan golongan penting untuk membangunkan negara belum diselesaikan. Malah, beberapa perkara dalam pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) terus menjadi polemik termasuk gaji minimum dan jumlah waktu bekerja, selain isu pekerja asing dan kesihatan mental.
Soalan (S): Sejauh mana pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) berkuat kuasa 1 Januari lalu mendapat sambutan majikan dan pekerja?
Jawapan (J): Pindaan terhadap akta yang berkuat kuasa kepada semua majikan sektor swasta di Semenanjung dan Labuan itu, membuka lebih ruang perlindungannya kepada semua pekerja sektor swasta tanpa mengira jumlah gaji atau jenis pekerjaan, berbanding dahulu yang hanya terpakai untuk pekerja swasta bergaji kurang RM2,000 sebulan.
Kesedaran majikan dan pekerja sangat menggalakkan kerana saya dimaklumkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerima banyak pertanyaan dan jemputan daripada orang awam serta majikan swasta mengenai hak dan kewajipan mereka di bawah pindaan baharu ini.
Antaranya, persoalan mengenai aturan waktu kerja fleksibel, pemberian cuti paterniti dan pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam.
Terdapat juga peningkatan aktiviti pengendalian aduan dan kes buruh. Contohnya, bagi suku pertama tahun ini, aduan meningkat 40 peratus, manakala bilangan kes buruh naik 36 peratus.
S: Banyak tafsiran timbul termasuk waktu bekerja seminggu 45 jam. Ada syarikat menambah masa bekerja walaupun amalan sebelum ini waktu bekerja kurang daripada tempoh berkenaan. Apa pandangan?
J: JKTSM menerima aduan mengenai ini. Pendekatan diambil buat permulaan penguatkuasaan pindaan ini adalah melalui pemberian khidmat nasihat kepada majikan untuk mematuhi pindaan ini.
Pengurangan tempoh bekerja seminggu daripada 48 kepada 45 jam bagi membolehkan pekerja menyeimbangkan masa di tempat kerja dengan kehidupan berkeluarga. Ia selaras trend di negara maju seperti Ireland, Norway, Switzerland, Luxembourg, Jerman, Amerika Syarikat (AS), Denmark, Perancis dan Belgium.
Malah negara jiran seperti Singapura sudah mengamalkan waktu kerja 44 jam seminggu, manakala Filipina 45 jam seminggu. Jadi langkah diambil Malaysia, ke arah mematuhi piawaian perburuhan antarabangsa khususnya Recommendation No 116 (ILO) mengenai Reduction Hours of Work.
Bagaimanapun, saya ingin menegaskan pengurangan waktu kerja seminggu tidak boleh membabitkan pengurangan gaji sedia ada diterima pekerja. Saya juga ingin menyeru majikan supaya menerima perubahan ini dengan hati terbuka dan JKTSM sentiasa bersedia memberikan sebarang penerangan.
S: Gaji minimum sukar dilaksanakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) walaupun diberi penangguhan, terutama dalam keadaan dan cabaran ekonomi. Ada juga dakwaan gaji minimum tidak cukup menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Apa pandangan?
J: Ini kita kena lihat secara menyeluruh. Memang ada dua pihak, iaitu pekerja dan majikan. Apabila gaji minimum dinaikkan, pekerja gembira tetapi majikan pula tertekan, begitu juga sebaliknya apabila pekerja berasa tidak berpuas hati kerana merasakan kos sara hidup dan sebagainya sehingga rasa menyusahkan mereka kerana gaji tidak naik.
Namun bagi majikan, menganggap itu lebih baik kerana tidak perlu menanggung kos atau beban tinggi. Jadi kedua-dua pihak ini akan sentiasa tidak mencapai kata sepakat. Isu ini bukan mudah untuk diselesaikan.
Saya bagaimanapun bersetuju gaji minimum RM1,500 ini agak rendah dan memang kita tahu penyelarasan dikaji setiap dua tahun. Jadi, saya bersetuju gaji minimum ini rendah dan pekerja merasakan jumlah itu tidak mencukupi untuk menanggung kos sara hidup tinggi.
Namun, kita kena ingat gaji minimum tidak bermaksud majikan hanya perlu membayar RM1,500 dan tidak lebih daripada itu, kita tidak boleh salah ertikan perkara ini. Namun, jika majikan merasakan mampu membayar lebih, ia harus digalakkan kerana ada juga menawarkan gaji lebih tinggi.
Kita tidak boleh menafikan kerana pekerja sentiasa peka kepada gaji ditawarkan di pasaran. Apabila mereka tahu ada syarikat atau firma menawarkan gaji lebih tinggi, ini akan mendorong 'melompat' satu syarikat ke syarikat lain. Inilah kuasa pasaran kerana ia tidak dikawal gaji minimum.
Gaji minimum adalah kadar ditetapkan kerajaan supaya majikan tidak boleh membayar pekerja kurang RM1,500, tetapi tidak boleh mengawal kuasa pasaran kerana gaji itu ditetapkan majikan dan pekerja itu sendiri.
Contohnya, majikan A tawar RM1,500, manakala majikan B pula RM1,600. Sudah tentu pekerja daripada majikan A merasakan kenapa majikan B boleh tawar gaji lebih tinggi. Pekerja mungkin melompat ke majikan B atau majikan A boleh berusaha menawarkan kadar upah sama dengan majikan B.
Ini dengan sendirinya akan menentukan harga atau upah mereka daripada RM1,500 kepada RM1,600.
S: Isu pekerja asing mengisi kekosongan pekerjaan yang sepatutnya boleh dilakukan pekerja tempatan. Bagaimana tindakan boleh dilakukan bagi mengatasi isu ini?
J: Pengumuman dibuat awal tahun ini, ada beberapa sektor kritikal seperti pertanian, perladangan, perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan memang berdepan masalah tenaga kerja. Walaupun di negara kita masih ramai tiada kerja, mereka tidak mahu memilih kerja seperti ini kerana rasa kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) ini, tidak diminati.
Oleh itu, kita terpaksa membawa masuk pekerja asing walaupun bukan hasrat kerajaan berbuat demikian. Kita terpaksa menerima kenyataan jika tak bawa masuk pekerja asing, lima sektor tadi akan terjejas.
Bagaimanapun, saya berpandangan pengisian kekosongan pekerjaan dengan pekerja asing hanya langkah akhir apabila kekosongan tidak dapat diisi pekerja tempatan.
Dalam pada itu, kita mengambil pendekatan majikan ingin menggaji pekerja asing, wajib mengiklankan kekosongan terlebih dahulu dalam portal MYFutureJobs bagi memberi peluang kepada warga tempatan.
Justeru, sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan disalah guna pihak tertentu berhubung penggajian pekerja asing ini, saya mohon maklumat diberikan kepada kementerian saya supaya tindakan susulan dapat diambil.
S: Sejauh mana isu kesihatan mental 'burn out' menjadi keutamaan kerana pindaan akta dilihat lebih tertumpu kepada soal gaji dan manfaat material?
J: Kita tak boleh melihat pindaan Akta Kerja 1955 dari sudut material semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam pendekatan berbeza kerana ada beberapa peruntukan bertujuan memperbaiki kesejahteraan pekerja.
Contohnya, Seksyen 60A mengenai pengurangan waktu bekerja seminggu. Kedua, pengenalan Seksyen 60P dengan pekerja boleh memohon kepada majikan untuk diadakan waktu kerja fleksibel di tempat kerja.
Ketiga, pengenalan Seksyen 60FA, iaitu cuti paterniti bagi pekerja lelaki tujuh hari. Keempat, peningkatan cuti bersalin daripada 60 kepada 98 hari bagi pekerja wanita, manakala kelima, pengenalan Seksyen 69F mengenai larangan diskriminasi dalam pekerjaan.
Jadi saya berpandangan semua peruntukan di atas, secara tidak langsung berupaya mengurangkan isu 'burn out' dalam kalangan pekerja.
S: Apakah harapan untuk Hari Pekerja dalam konteks hak dan kesejahteraan pekerja?
J: Sempena sambutan Hari Pekerja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya sebagai Menteri Sumber Manusia berharap semua majikan memberi sokongan padu kepada usaha kerajaan dalam memperbaiki nasib dan menaikkan taraf pekerja di negara ini.
Saya juga meminta semua majikan mematuhi semua perundangan perburuhan seperti pembayaran gaji minimum dan pindaan terkini Akta Kerja 1955. Kepada golongan pekerja pula, saya menyeru mereka berusaha meningkatkan produktiviti di tempat kerja dan mengambil pendekatan berbincang dahulu dengan majikan jika menghadapi sebarang masalah di tempat kerja sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Saya juga ingin menekankan pekerja sentiasa bersedia untuk menerima kemahiran baharu melalui latihan disediakan pihak industri atau pihak tertentu. Ini amat penting kerana saya melihat pembangunan tenaga kerja di negara kita sangat bergantung kepada kemahiran atau latihan mereka peroleh.
Melihatkan trend ketika ini, banyak perkara berkaitan teknologi tinggi dan automasi dan sebagainya, giat berlaku hingga kita tidak boleh mengelak. Jadi tenaga kerja kita perlu bersedia menerima perubahan dan sanggup mendapatkan ilmu ini, jika tidak kita akan ketinggalan.
Kaji gaji progresif imbangi kos sara hidup
S: Banyak tafsiran timbul mengenai waktu bekerja seminggu 45 jam hingga ada syarikat menambah masa bekerja walaupun amalan sebelum itu waktu bekerja kurang daripada tempoh berkenaan.
J: Pindaan akta mengenai pengurangan waktu bekerja memang menimbulkan pelbagai tafsiran dan kontroversi. Selain tindakan itu, langkah segelintir majikan mengecualikan waktu rehat sebagai waktu bekerja atau mengurangkan gaji pekerja adalah tidak wajar, sekali gus melanggar undang-undang.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menegaskan majikan tidak boleh menambah waktu kerja asal pekerja hanya untuk memenuhi tuntutan pindaan akta ini. MTUC percaya ketegasan kerajaan disusuli dengan pemantau dan penguatkuasa berterusan dengan mengambil tindakan untuk memastikan semua majikan mematuhi undang-undang.
S: Isu gaji minimum terus diperkatakan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sukar melaksanakannya, malah ada melihat gaji minimum itu tidak cukup menampung kos sara hidup makin meningkat. Apa pandangan?
J: Penangguhan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) PKS 2020 pada 1 Januari 2021 bagi sektor swasta terjejas COVID-19 memberikan kesan positif dan negatif terhadap majikan serta pekerja.
Bagi majikan, ini memberikan ruang untuk pulih daripada kesan pandemik. Pada masa sama, majikan mempunyai cabaran mengekalkan pekerja ekoran peningkatan kos sara hidup di samping persaingan pasaran pekerjaan menawarkan gaji lebih menarik dan kompetetif.
Bagi pekerja, penangguhan ini membebankan mereka dengan kesan peningkatan kos sara hidup terus meningkat dan mereka tidak menikmati pelaksanaan gaji minimum. Ini memberi kesan terhadap industri PKS mengekalkan perniagaan ekoran persaingan serta 'turn over' pekerja mungkin meningkat di samping kesukaran mendapat pekerja.
Diakui, terdapat dakwaan gaji minimum tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup. Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Kos Sara Hidup (KSH) pada 2020 meningkat 3.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Oleh itu, MTUC menyarankan kerajaan mengkaji semula kesesuaian pelaksanaan gaji minimum bagi memastikan ia mencukupi untuk memenuhi keperluan asas kos sara hidup. Sudah sampai masa kita mengkaji keperluan melaksanakan gaji progresif bersesuaian gaji kehidupan lebih bermaruah untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup pada masa kini dan hadapan.
MTUC yakin inisiatif kerajaan seperti Insentif Kerjaya Madani melalui Dana Kerjaya dilancarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan dapat membantu majikan terutama PKS menggajikan pekerja serta membantu memberi peluang pekerjaan kepada golongan bersasar serta dapat meningkatkan daya saing.
S: Bagaimana pula dengan isu pekerja asing mengisi kekosongan pekerjaan yang sepatutnya boleh dilakukan pekerja tempatan?
J: Isu ini sering dibangkitkan di negara ini. Menurut statistik Jabatan Tenaga Kerja, pada Januari 2022, terdapat 1.75 juta pekerja asing berdaftar yang membentuk lebih kurang 20 peratus daripada angkatan kerja negara.
Kelonggaran dibuat kerajaan menyebabkan ada segelintir majikan mengambil kesempatan menggantikan pekerja tempatan dengan pekerja asing. Sewajarnya kesempatan sebegini tidak disalahgunakan industri.
MTUC menggesa kerajaan menambah baik dasar pengambilan pekerja asing lebih ketat dan memastikan pekerja tempatan diberi keutamaan dalam pengambilan pekerjaan. Sewajarnya pekerja tempatan menggantikan pekerja asing sejajar dengan tujuan PGM.
Kami juga mencadangkan program latihan kerja dan kemahiran diperkukuhkan dan lebih diperuntukkan kepada golongan tempatan untuk meningkatkan daya saing dalam pasaran tenaga kerja.
S: Kita tidak boleh mengabaikan isu kesihatan mental dan 'burn out' dalam kalangan pekerja. Bagaimana MTUC melihat hal ini?
J: Isu ini semakin menjadi perhatian selepas tempoh pandemik. Menurut kajian Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pada 2020, lebih 60 peratus pekerja mengalami tekanan emosi akibat pandemik. Kajian lain menunjukkan tekanan kerja dan masalah kesihatan mental memberikan kesan signifikan terhadap prestasi dan produktiviti pekerja di tempat kerja.
Bagaimanapun, pindaan Akta Kerja 1955 tidak mempunyai peruntukan khusus mengenai kesihatan mental dan burnout, tetapi asas kepada pengurangan waktu bekerja kepada 45 jam dalam pindaan baharu Akta Kerja 1955 bertujuan memastikan pekerja mendapat rehat secukupnya.
Isu ketidaksepadanan, iaitu kerja di luar kepakaran, bidang tugas atau minat juga boleh menyumbang kepada kesihatan mental dan burnout. Berdasarkan statistik, isu mismatch meningkat melebihi 30 peratus dalam kalangan graduan dan perlu ditangani segera bagi mengelakkan berlaku penghijrahan pekerja mahir ke luar negara. Di samping peranan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam memastikan program 'reskilling' atau 'upskilling' bagi menyediakan pekerja mahir.
S: Apakah harapan MTUC untuk sambutan Hari Pekerja?
J: Mari kita sama-sama merenung kembali matlamat asal kepada sambutan Hari Pekerja diwujudkan. Ia bukan untuk bercuti semata-mata, sebaliknya bagi mengenang perjuangan menuntut hak dan kesaksamaan kelompok pekerja.
Baik pekerja mahupun majikan, Hari Pekerja sepatutnya dijadikan renungan dan pedoman kepada kepekaan terhadap aspek keadilan, kejujuran, amanah dan tanggungjawab dalam konteks bekerja, selain memikirkan produktiviti dan keuntungan semata-mata.
Dalam suasana dunia makin terbuka dan kompleks, isu pekerja tidak lagi berkisar gaji, waktu kerja atau cuti, sebaliknya jaringan keselamatan sosial, imbuhan serta manfaat sampingan, kebajikan dan persaraan pekerja juga perlu dipertingkatkan dan diperluaskan secara berterusan.
Dengan kebanjiran buruh asing ke dalam negara ini, kerajaan perlu peka dan pantas bertindak membela nasib pekerja tempatan secara jangka pendek dan panjang.
Harapan MTUC, sambutan Hari Pekerja dapat digunakan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan golongan ini terutama pada era ekonomi berubah-ubah dan berkembang pesat. Ia juga menjadi satu kesempatan kepada majikan untuk memberikan pengiktirafan dan menghargai sumbangan pekerja dalam meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan syarikat.
MTUC berharap dalam Malaysia sedang menuju negara menua pada 2030, yakni peningkatan populasi golongan 60 tahun ke atas, kita perlu bersedia membuat perancangan dan hala tuju boleh dirangka kerajaan sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang dalam menjamin kesejahteraan rakyat.
Di samping melaksanakan gaji minimum sepenuhnya, negara perlu mengkaji keperluan melaksanakan gaji bermaruah seperti gaji progresif atau gaji kehidupan bagi mengimbangi kos sara hidup serta memastikan tidak berlaku diskriminasi terhadap pelaksanaan gaji terhadap pekerja.
Pengwujudan elaun sara hidup (COLA) juga perlu dipertimbangkan dalam kalangan pekerja swasta bagi menampung kos pekerja sedikit dalam jangka pendek.
Jaringan Keselamatan Sosial perlu diperluaskan dan dipertingkatkan. MTUC menyokong penuh Skim Bencana Bukan Kerja dicadangkan PERKESO dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja dilindungi sentiasa serta bagi menangani kos perubatan semakin meningkat ini.
MTUC yakin kebolehan urus tadbir baik pengurusan PERKESO akan terus mampu mewujudkan jaringan keselamatan sosial berterus dan revelan dengan arus pekerjaan.
Mewujudkan pencen bagi semua pekerja terutama pekerja swasta kerana MTUC ia dapat mampu membantu pekerja merancang kehidupan selepas bersara. Organisasi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai pengurusan kewangan baik perlu mengambil inisiatif menstruktur semula simpanan wang pekerja agar terus relevan dalam membantu simpanan pekerja.
Kami juga berharap kerajaan meminda undang-undang antipemerdagangan dan akta pekerjaannya untuk memasukkan takrifan buruh paksa lebih luas akan dapat menghapuskan isu buruh paksa terutama terhadap pekerja asing di negara ini.
Berdasarkan laporan Trafficking in Persons (TIP), untuk tahun kedua berturut-turut, Malaysia berada pada peringkat terendah dalam Laporan Pemerdagangan Orang. Tindakan tegas berterusan perlu dengan mensabitkan lebih ramai penyeludup dan mengeluarkan lebih banyak pas kebebasan bergerak untuk mangsa dikenal pasti di pusat perlindungan dibiayai kerajaan.
MTUC percaya melalui Pelan Tindakan Nasional (NAP) lima tahun terhadap buruh paksa akan dapat menangani isu ini bagi jangka panjang, seterusnya mengembalikan Malaysia di peringkat terbaik.
Akhir sekali MTUC sangat berharap dan percaya Kerajaan akan dapat meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 87 iaitu Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak untuk Menganjur pada tahun ini sebagai antara lapan konvensyen membentuk teras undang-undang buruh antarabangsa.
Ini perjuangan berterusan MTUC sejak kepemimpinan terdahulu dan MTUC berharap Konvensyen 87 ini dapat diratifikasikan pada Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva, pada Jun ini. Ini akan meningkatkan jumlah ahli kesatuan sekerja di samping memudahkan penubuhan kesatuan sekerja. Statistik menunjukkan hanya 6 peratus sahaja pekerja di negara ini menjadi Ahli Kesatuan Sekerja.