Sabtu, 29 April 2023 | 1:18pm

'Saya ajak Kon Yeow berdebat isu PSI...dia boleh tetapkan masa dan lokasi debat'

GOMBAK: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berdebat isu pembangunan Pulau Pinang Selatan (PSI) dan Seberang Perai.

Katanya, beliau terbuka untuk berdebat isu itu dengan memberikan Kon Yeow peluang menetapkan tarikh, masa dan lokasi debat.

"Saya hanya minta wartawan dan jurukamera serta video dibenarkan membuat liputan sesi debat itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke 24 Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSI yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bukanlah keputusan muktamad yang membenarkan aktiviti tambakan di lokasi dicadangkan.

Perdana Menteri juga menafikan dakwaan enggan 'melayan' kekecewaan golongan nelayan dan penduduk setempat yang dijangka terjejas susulan pelaksanaan Projek PSI.

BH sebelum ini melaporkan, EIA bagi projek PSI akhirnya diluluskan JAS dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi menerusi surat kepada Kerajaan Pulau Pinang, bertarikh 11 April lalu.

Kon Yeow pula dilaporkan berkata, beberapa proses perlu dilalui terlebih dulu, selain menjelaskan kerja tambakan hanya akan dimulakan pada suku ketiga 2023.

Projek kontroversi itu melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan. Laporan baharu diserahkan pada 29 April 2022.

PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas dan dibantah komuniti nelayan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pulau Pinang kerana didakwa akan merosakkan ekosistem marin di situ.

Dominic yang juga Presiden GERAKAN berkata, pelawaan berdebat dengan Kon Yeow berhubung isu projek PSI kerana mendakwa rakyat Pulau Pinang membantah pelaksanaan projek walaupun pihak kerajaan negeri mendakwa sebaliknya.

"Beliau (Kon Yeow) berkata badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang hanya tahu mempolitikkan isu projek PSI, namun bagaimana pula dengan suara rakyat seperti golongan nelayan," katanya.

Dominic berkata, laporan jelas menyatakan projek PSI ajak memberi impak negatif terhadap alam sekitar.

"Adakah NGO dan golongan nelayan juga mahu mempolitikkan isu PSI, sedangkan projek PSI mempengaruhi sumber pendapatan dan kelangsungan hidup mereka.

"Mereka tidak setuju projek PSI ini, malah NGO dan pakar akademik turut membangkang kerana jika diteruskan, projek itu menyebabkan bekalan air di Pulau Pinang terjejas, selain alam sekitar turut terjejas," katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Berita Harian X