KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menggesa semua pihak untuk tidak mengambil langkah berdiam diri dan menyembunyikan kes penagihan dadah dalam rumah masing-masing.
Menurut AADK dalam satu kenyataan, tindakan itu hanya akan membahayakan bukan sahaja keluarga, malah memberi kesan kepada kejiranan khususnya dalam aspek kesejahteraan dan keselamatan.
"Sehingga Mac lalu, secara keseluruhan seramai 70,000 orang klien sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) melalui Model i-Pulih AADK.
"Berdasarkan anggaran, setiap seorang penagih, terdapat empat hingga enam ahli keluarga yang sengsara kesan daripada penagihan dadah.
"Daripada jumlah itu, kira-kira 3.3 juta rakyat Malaysia sengsara akibat aktiviti penagihan dadah.
"Sehubungan itu, ahli keluarga tidak harus berasa malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan keluarga. Perkara ini perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya," kata kenyataan itu lagi.
Oleh demikian, AADK tawarkan pelbagai inisiatif bagi membantu klien kekal pulih daripada penagihan dadah di 28 fasiliti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara.
Katanya, program rawatan dan pemulihan itu dilaksanakan oleh Pegawai AADK di 109 Pejabat Daerah AADK bagi memudahkan akses perkhidmatan rawat pulih kepada masyarakat yang memerlukan.
Menurut AADK dalam satu kenyataan, sehingga Mac seramai 70,000 klien sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) melalui Model i-Pulih AADK.
Agensi itu juga menawarkan program rawatan dan pemulihan secara sukarela di 9 PUSPEN iaitu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Seri Iskandar, Perak; Sungai Besi, Kuala Lumpur; Jerantut, Pahang; Kota Bharu, dan PUSPEN Bachok, Kelantan; PUSPEN Dengkil, Selangor; PUSPEN Papar, Sabah serta PUSPEN Kuching, Sarawak.
Katanya lagi, AADK turut memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT AADK) bagi meluaskan capaian program rawatan dan pemulihan khususnya di kawasan yang sukar dicapai.
Terdahulu media melaporkan, kisah seorang isteri penagih dadah yang sukar untuk menuntut penceraian hanya kerana berasa malu dan enggan untuk membuat laporan berkenaan kes penagihan dadah membabitkan suaminya.