Sabtu, 29 April 2023 | 1:18am

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis sambutan Aidilfitri MBK

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini.

Keberangkatan baginda ke pekarangan Kompleks Bandaraya Kuantan pada 8.35 malam diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepemimpinan kerajaan negeri, Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dan ketua-ketua jabatan.

Pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 tetamu itu, Seri Paduka berdua turut berkenan mengurniakan duit raya kepada anak warga kerja MBK.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa menyantuni warga kerja MBK dan melawat gerai yang menyediakan pelbagai juadah makanan.– BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin (kanan) ketika berangkat tiba pada Majis Sambutan Aidilfitri 1444H Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Dewan Bandaraya, Kompleks Bandaraya Kuantan di sini hari ini. - Foto Bernama

Berita Harian X