Jumaat, 28 April 2023 | 5:15pm
Khairy Jamaluddin (kiri) dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif. - Foto NSTP
Khairy Jamaluddin (kiri) dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif. - Foto NSTP

PRN: Bekas MP Jempol turut ditawarkan bertanding tiket PN

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menawarkan kerusi kepada bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif untuk bertanding atas tiket gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sebelum ini, tawaran sama diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, ketika mengesahkan membuat tawaran berkenaan berkata, PN sebelum ini ada menawarkan kepada Khairy sebagai 'poster boy' untuk bertanding atas tiket PN di Negeri Sembilan.

"Kita juga mempelawa Datuk Seri Mohd Salim bertanding atas tiket PN, namun setakat ini kedua-dua tokoh berkenaan belum menyatakan pendirian masing-masing.

"Kita mengharapkan ada keputusan yang positif daripada mereka berdua," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini bagi mengulas mengenai persiapan gabungan berkenaan menjelang PRN yang dijangka diadakan sekitar Julai tahun ini.

Terdahulu, media melaporkan, Khairy disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran BERSATU untuk menyertai parti itu.

Semalam, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga memberi bayangan akan membabitkan diri dalam perencanaan PN dengan bertanding di satu kerusi DUN di Selangor pada PRN akan datang.

Mengenai pembahagian 36 kerusi DUN dalam kalangan parti komponen gabungan itu, Rafiei yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata, perkara itu sudah sudah dimuktamadkan.

Beliau berkata, parti gabungan PN membabitkan PAS, BERSATU dan GERAKAN sudah mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi berkenaan.

"Setakat ini pembahagian kerusi kita (PN Negeri Sembilan) sudah selesai. Semua parti dalam gabungan sudah mencapai kata sepakat dan berpuas hati dengan pembahagian itu.

"Keputusan juga sudah dimajukan kepada kepemimpinan tertinggi PN di pusat untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh menyatakan dari segi komposisi iaitu PAS dapat berapa, BERSATU dapat berapa dan juga GERAKAN kerana ia akan diumumkan pucuk pimpinan PN," katanya.

Dalam pada itu, Rafiei berkata gerak kerja gabungan itu akan diperhebatkan dalam usaha memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN untuk memerintah Negeri Sembilan.

"Memasuki Mei ini, gerak kerja gabungan parti dalam PN akan ditingkatkan lagi kerana tempoh masa PRN semakin dekat.

"Namun, kami sudah bersedia untuk berhadapan dengan PRN dan kini hanya menunggu pembubaran DUN Negeri Sembilan," katanya yang memaklumkan PAS Negeri Sembilan akan mengadakan Konvensyen PRN di Port Dickson pertengahan Mei ini.

Berita Harian X