Jumaat, 28 April 2023 | 10:49am

TH umum agihan keuntungan 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2022

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2022, membabitkan jumlah RM2.65 bilion, meningkat tujuh peratus berbanding RM2.46 bilion tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH dan ia juga setelah mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

"Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus.

"Agihan ini telah ditolak zakat berjumlah RM97 juta yang dilunaskan kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit TH.

"Pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.27 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2022 di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua kanan) bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar (dua kiri) mengumumkan kadar agihan keuntungan 2022 TH kekal 3.10 peratus selepas zakat. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua kanan) bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar (dua kiri) mengumumkan kadar agihan keuntungan 2022 TH kekal 3.10 peratus selepas zakat. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Yang turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Mengulas lanjut Mohd Na'im berkata, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula jam 12 tengah hari esok.

"Ia boleh disemak menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic," katanya.

Sementara itu Azman berkata, prestasi pelaburan TH telah dapat dipertahankan walaupun berhadapan pasaran yang merudum pada tahun 2022.

"Kami mengambil pendekatan yang amat berhati-hati untuk meminimumkan risiko dan memastikan pemilihan aset yang baik untuk menjana hasil.

"Walaupun berhadapan tekanan inflasi, TH juga telah berjaya mengawal perbelanjaan dengan jumlah perbelanjaan operasi menurun sebanyak tiga peratus berbanding tahun 2021.

"TH akan terus mengambil langkah meminimumkan risiko supaya modal pelaburan terpelihara dan tidak terjejas," katanya.

Berita Harian X