ARAU: Bekalan air di negeri Perlis mencukupi dalam persiapan negeri itu menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada Jun hadapan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata pihaknya sudah mengarahkan Syarikat Air Perlis (SAP) untuk membuat persediaan dalam berdepan cuaca panas dan kering itu nanti.
"Kita (Kerajaan negeri) sudah mengarahkan SAP khususnya, membuat persediaan yang baik dalam menghadapi El Nino ini di mana musim kemarau yang kita rasa akan berpanjangan.
"Berdasarkan laporan yang diberi, bekalan air dilihat mencukupi dan Insya-Allah, mudah-mudahan ia dapat mengatasi masalah yang kita hadapi ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Bersama Ahli Parlimen Arau Bersama Perpaduan Ummah Malaysia di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau, Kubang Gajah, di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan cuaca semasa di negeri itu juga, hujan lebat yang berlaku juga berjaya meningkatkan paras air di Empangan Timah Tasoh di negeri itu.
"Persediaan memang sudah kita buat dan kita tengok dua hingga tiga hari kebelakangan ini juga, hujan yang melanda dilihat berjaya meningkatkan lagi paras air di Empangan Timah Tasoh.
"Selain itu, kita juga sudah meminta SAP untuk mengkaji kawasan yang mengalami masalah bekalan air terutama dalam menghadapi musim kemarau ini di mana langkah alternatif yang dibuat, SAP akan menyediakan tong air di kawasan terjejas bekalan air.
"Malah, penghantaran air menerusi lori juga dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa keadaan cuaca dijangka berubah kepada panas dan kering memasuki Jun kelak di mana fenomena El Nino akan berlaku dan kawasan Chuping di Padang Besar juga pernah merekodkan suhu tertinggi serta terpanas di Malaysia iaitu 40.1 darjah celsius pada 9 April 1998.
Malah, Pusat Ramalan Iklim APEC Climate Center di Busan, Korea juga meramalkan kebarangkalian fenomena El Nino berlaku pada Jun hadapan adalah melebihi 90 peratus.
Terdahulu, Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis meluangkan masa hampir satu jam menghadiri dan beramah mesra dengan masyarakat dalam majlis yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri
Shahidan Kassim yang turut dihadiri hampir 5,000 orang dari seluruh Perlis.
Yang turut hadir, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus'ele Eizan, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Perlis.