Khamis, 27 April 2023 | 5:25pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Program Lima Minit Antirokok/Vape kekang murid merokok, terbabit e-rokok

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan melaksanakan Program Lima Minit Antirokok/Vape di antara usaha membanteras penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.

Kementerian dalam kenyataan berkata program berkenaan dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ia dilaksanakan dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen anti merokok/vape, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah.

"Aktiviti ini bertujuan untuk menerapkan nilai kesedaran murid, membentuk jati diri dan mempunyai daya tahan yang tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, KPM berkata, kementerian turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan melaksanakan program IMFree kepada murid sekolah rendah Tahun Satu hingga Tahun Enam di 636 sekolah rintis serta diperluaskan pada tahun 2023 dan seterusnya.

"Program IMFree adalah program pendidikan dan pencegahan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah, yang bertujuan agar murid yang lahir pada tahun 2009 dan ke atas kekal tidak merokok sepanjang hayat.

"Objektif program ini ialah untuk, memberi pengetahuan mengenai bahaya merokok; memberi kemahiran untuk menyampaikan maklumat tentang bahaya merokok; dan melatih murid menjadi agen/pencetus/penyampai maklumat

perubahan kepada rakan dan keluarga terhadap bahaya merokok," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada beberapa laporan media mengenai penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.

Dalam pada itu, JPN, PPD dan sekolah diminta mematuhi arahan yang ditetapkan kementerian berhubung isu penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.

Pengetua dan guru besar disaran mengambil langkah berkesan berdasar Surat Siaran KPM Bil 17/2015: Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape di Sekolah dam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2001: Pemantapan Pengurusan Disiplin di Sekolah.

Arahan-arahan berkenaan adalah bertujuan memantapkan pengurusan disiplin dan kaunseling di sekolah.

KPM berkata, ia sentiasa komited dalam melaksanakan program pendidikan pencegahan berkaitan isu disiplin sebagai satu usaha berterusan memberi kesedaran, kemahiran, pengetahuan serta bimbingan kepada murid.

Berita Harian X