Khamis, 27 April 2023 | 3:31pm

Projek Pulau Pinang Selatan lepas semua pertimbangan teknikal

GEORGETOWN: Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang mendapat kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) baru-baru ini sudah pun melalui semua pertimbangan teknikal diperlukan daripada pelbagai agensi dan jawatankuasa kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, yang turut mengakui proses itu menuntut masa dan usaha yang cukup banyak sebelum kelulusan EIA diterima.

Kelulusan itu, katanya, diberikan berdasarkan laporan EIA baharu yang dikemukakan selepas laporan sebelum ini dibatalkan pada 2021.

Beliau berkata, meskipun kelulusan EIA untuk projek tambak laut bernilai RM11 bilion itu sudah diperoleh, tiada sebarang halangan untuk mana-mana pihak membuat rayuan.

"Sesiapa sahaja boleh ambil tindakan untuk merayu kelulusan terbaharu yang diberikan. Itu di luar (bidang kuasa) kita.

"Apa yang boleh saya katakan ialah laporan EIA sudah melalui semua pertimbangan teknikal yang diperlukan daripada pelbagai agensi dan jawatankuasa kerajaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.

Kelulusan untuk PSI yang membabitkan pembinaan tiga pulau buatan manusia dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas, diterima melalui surat bertarikh 11 April lalu daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, dengan turut disertakan 71 syarat yang perlu dipenuhi kerajaan negeri.

Antara syarat kelulusan EIA itu termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Kelulusan diberi untuk pembinaan tiga pulau yang ketika ini dinamakan sebagai A (berkeluasan 930 hektar), B (445 hektar) dan C (323 hektar).

Kerja penambakan akan bermula di Pulau A membabitkan kawasan seluas 283 hektar yang dijangka mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan dan bakal dijadikan sebagai Taman Teknologi Hijau.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, apa yang penting dalam projek tambakan laut yang mencetus kontroversi itu adalah dari segi pematuhan.

"Jika projek itu tidak dibenarkan untuk dilaksanakan, bagaimana mereka boleh membuktikan mereka boleh mematuhi syarat yang ditetapkan?

"Ujian sebenar adalah pada pelaksanaan dan bukan pada kelulusan," katanya.

Kon Yeow semalam ketika mengumumkan mengenai kelulusan EIA yang diterima, berkata sebarang kerja penambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diperoleh, yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.

Susulan kelulusan itu, kekecewaan dibangkitkan pelbagai pihak termasuk kumpulan alam sekitar dan nelayan yang mendakwa kebimbangan dibangkitkan mereka selama ini sebagai sia-sia.

Ditanya mengenai permintaan SAM untuk mendedahkan 71 syarat yang perlu dipatuhi kerajaan negeri, Kon Yeow menerangkan secara ringkas 15 bahagian daripada 71 syarat itu.

Antara syarat berkenaan termasuklah pematuhan kepada Akta Alam Sekitar daripada segi kerja pengorekan dan penambakan, kawalan pencemaran udara, air dan bunyi, pelan tindak balas kecemasan di tapak dan luar tapak dan penyediaan EMP.

Syarat nombor 70 ialah keperluan untuk memaklumkan kepada JAS jika terdapat sebarang perubahan dalam projek dalam tempoh 30 hari selepas perubahan itu.

"Syarat terakhir ialah rakan kongsi penyampai projek perlu mematuhi sebarang syarat dan keperluan tambahan yang ditetapkan oleh JAS mengikut Akta Alam Sekitar.

"Seperti yang saya katakan, projek ini sudah melalui proses yang panjang dan ia mampu mengubah Pulau Pinang ke peringkat seterusnya," katanya.

Butiran projek PSI boleh didapati di laman web Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd di penanginfra.com

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/ MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/ MIKAIL ONG
Berita Harian X