Isnin, 24 April 2023 | 6:07pm
Ilham (duduk) bersama-sama mentornya, Kamal. - Foto Facebook STEVEN SIM
Ilham (duduk) bersama-sama mentornya, Kamal. - Foto Facebook STEVEN SIM

Mari bantu Ilham tamatkan PhD - Steven

KUALA LUMPUR: Biarpun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU), itu bukan penghalang bagi seorang anak FELDA kelahiran Johor untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Cacat penglihatan juga tidak mematahkan semangat Norilham Ismail, 33, menamatkan pengajiannya dalam jurusan Sejarah dengan kajian Amerika Syarikat (AS) di Universiti Malaya (UM).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ilham, meneruskan pengajian bagi memenuhi tekad dan impian bergelar sebagai pensyarah, walaupun berdepan pelbagai liku sepanjang perjalanan menuju ke menara gading.

Berkongsi pengalaman ditempuhi Ilham, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, berkata pemuda berkenaan menerima pengiktirafan selepas berjaya mendapat biasiswa Sasakawa yang berprestij dari Jepun yang membiayai kos pengajian sahaja.

Beliau berkata, Ilham di hujung pengajian PhD perlu ke Washington selama tiga minggu untuk peringkat akhir kajian, namun berdepan kesukaran apabila tiada sumber pendapatan selain elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 sebulan.

Katanya, Ilham dan isterinya, Ifa, agak runsing untuk ke AS, mengenangkan kos penginapan bernilai hampir RM10,000 belum termasuk perbelanjaan untuk makan dan pelbagai lagi.

"Saya sangat kagum mendengar kisah Ilham dan rasa diri amat kerdil berbanding beliau. Kagum kerana penting untuk kita mempunyai pakar mengenai kuasa besar dunia seperti AS. Diri terasa kerdil melihat Ilham terpaksa bekerja 10 kali ganda lebih kuat, berbanding orang biasa untuk mencapai ke peringkat ini.

"Ifa (pula) tidak bekerja kerana membantu Ilham sepenuh masa, memandu Ilham dari rumah di Bangi ke UM setiap hari. Menemani Ilham hingga habis kerja, membaca nota dan buku untuk Ilham. Terharu sungguh saya melihat cinta suci mereka.

"Ilham kata, makan minum (di AS) mereka boleh ikat perut. Itu memang kebiasaan Ilham dan Ifa. Walaupun tidak berharta, si suami pula OKU penglihatan, tetapi asalkan bidadari berada di sisi, pahit manis, susah senang, lapar kenyang diharungi bersama," katanya di Facebook, hari ini.

Tersentuh dengan kesukaran dihadapi pasangan berkenaan, Steven menyerahkan sumbangan bernilai RM15,000 bagi menampung perbelanjaan penginapan dan makan minum selama pasangan berkenaan berada di AS.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu turut menyalurkan sumbangan RM1,000 sebulan selama setahun bagi menyokong Ilham menamatkan pengajian PhD.

"20 tahun dahulu saya hanya mampu 'beri' mata dan suara untuk bantu Prof Kamal (pensyarah di UM yang juga cacat penglihatan) baca nota PhD. Tak sangka 20 tahun kemudian, saya sekali lagi diberi peluang dan rezeki untuk bantu Ilham pula.

"Kini, Prof Kamal sudah nak bersara. Dia amat berharap Ilham dapat menyambung legasinya di UM. Ya Tuhan, saya berdoa harapan itu menjadi kenyataan. Kau lindungi Ilham dan Ifa, berikan mereka kekuatan sehingga berjaya.

"Malaysia yang MADANI bermakna semua rakyat Malaysia tak kira kaum, agama, lelaki, perempuan, mahupun keadaan fizikal boleh mencapai cita-cita mereka di tanah air sendiri. Ilham, kau benar-benar ilhamku," katanya.

Mengenai kesukaran ditempuhi Ilham, Steven berkata, beliau pernah berdepan dihalang melanjutkan pengajian dalam jurusan ekonomi semata-mata kerana buta, malah universiti mengetengahkan alasan kecacatannya menyulitkan beliau membaca lekuk graf.

Katanya, Ilham sekali lagi berdepan kesulitan apabila gagal mendapatkan tempat sebagai pensyarah kerana kekurangan fizikalnya, biarpun berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Sejarah di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM).

Steven (kiri) bersama rakan lama, Kamal. - Foto Facebook STEVEN SIM
Steven (kiri) bersama rakan lama, Kamal. - Foto Facebook STEVEN SIM

Berita Harian X