Isnin, 24 April 2023 | 4:30pm
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada 13 Mac lalu. - foto BERNAMA
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada 13 Mac lalu. - foto BERNAMA

Kerjasama Sivakumar sudah memadai, tak perlu cuti - AMK

KUALA LUMPUR: Bagi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan lanjut berhubung kes dua pegawai Menteri Sumber Manusia terkait dakwaan menerima wang jutaan ringgit sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata proses siasatan SPRM baru berjalan dan menteri berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan dan penjelasan.

"Pada pandangan saya kerjasama diberikan menteri itu sudah memadai dan tindakan lanjut diserahkan kepada SPRM," katanya kepada BH.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar

Semalam, Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim menggesa Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bercuti dari tugasnya sebagai menteri sehingga SPRM selesai menjalankan penyiasatan terhadap membabitkan pegawai kanannya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, tindakan itu menunjukkan teladan positif selaras dengan agenda Pakatan Harapan (PH) untuk membasmi rasuah.

"Yang Berhormat Menteri tentu lebih faham mengenai prinsip 'tanggungjawab kolektif' dan 'tanggungjawab menteri' dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau Kabinet Kerajaan Persekutuan.

"Jangan tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan," katanya.

Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, adalah tidak wajar mana-mana pihak membuat telahan awal berhubung kes itu yang kini dalam proses siasatan.

"Sekiranya ada tindakan lanjut, saya percaya beliau (Sivakumar) tahu apa yang perlu beliau lakukan," katanya.

Berita Harian X