KUALA LUMPUR: Pendedahan ilmu berkaitan pengurusan rumah tangga tidak seharusnya terhad kepada pasangan yang bakal bernikah semata-mata, sebaliknya perlu juga diadakan secara berkala buat mereka yang sudah lama berkahwin.
Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur & Selangor (WITUS), Shiella Tukimin, berkata ia bagi menyemarak dan menyemai semula rasa cinta pasangan agar hubungan perkahwinan dapat dimantap serta disuburkan seperti tahun pertama membina mahligai cinta.
Katanya, program 'SMART START 2nd Honeymoon' dianjurkan pihaknya bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) antara contoh platform pendedahan ilmu alam perkahwinan dan menyemai semula rasa cinta pasangan.
"Pelbagai aktiviti diadakan dalam program dua hari satu malam itu, termasuk sesi ceramah yang menyelitkan pelbagai modul serta ilmu berkaitan alam perkahwinan, selain sesi luahan perasaan antara suami isteri.
"Hubungan suami isteri akan jadi lebih baik kerana ada pasangan yang bergaduh sehingga tidak bertegur sapa di rumah menyertai program ini dan mencari punca kenapa keadaan itu berlaku.
"Mereka kemudian bersama membaiki kembali hubungan," katanya.
Shiella mengakui konflik dalam keluarga tidak dapat dielakkan, namun jika ada masalah sehingga menyebabkan suami isteri memendam perasaan, tidak mustahil ia akan berakhir dengan kehilangan nyawa.
"Kesannya, pasangan hilang rasa kasih sayang, tidak lagi hormat satu sama lain sehingga sanggup guna kekerasan dan peralatan bahaya untuk melepaskan perasaan terbuku itu. Itu sebab kita sarankan program pemantapan perkahwinan.
"Program seperti SMARTSTART 2nd Honeymoon ini diharap dapat dipertimbang untuk diwajibkan kepada setiap pasangan yang sudah berkahwin sebagai tambahan kepada modul kursus praperkahwinan sedia ada.
"Jika suami isteri mengikuti program ini, ia didapati membantu memperlengkapkan ilmu serta memperbaiki hubungan selain mengurangkan konflik, kejadian tidak diingini dalam rumah tangga.
"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, ada pasangan di mana suami selalu memukul isteri di rumah. Namun, selepas menyertai program ini, hubungan menjadi lebih baik, bahkan boleh meraikan hari jadi bersama," katanya.
Katanya, kerajaan sebelum ini meluluskan dana bagi program pertama di bawah WITUS dan program kali kedua akan dianjurkan tidak lama lagi dengan ketetapan ketika ini hanya bagi pasangan sudah berkahwin lebih lima tahun.
Shiella berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar ini Jumaat lalu mengenai modul kursus praperkahwinan pasangan Islam di negara ini yang dikatakan tidak sesuai dengan keperluan semasa kerana tiada elemen pengurusan mental, emosi dan berkaitan jenayah keganasan rumah tangga.
Susulan itu, beberapa ahli kriminologi dan aktivis masyarakat serta pejuang hak wanita mengesyorkan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) yang dikawal selia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditambah baik.
Mereka menyarankan modul sedia ada dinilai semula kesesuaiannya dan beberapa modul baharu dimasukkan, khususnya bagi menangani kes keganasan rumah tangga, termasuk kejadian bunuh pasangan oleh suami atau isteri yang membimbangkan.
Antara dicadangkan mereka, termasuk modul berkaitan jenayah dalam kursus untuk mendedahkan pasangan suami isteri mengenai aspek jenayah berkaitan keganasan rumah tangga seperti pukul dan dera, selain pengurusan kesihatan mental dan amarah.