KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 3,500 penduduk di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini, hari ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Zainal Abidin.
Ketibaan Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri; Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.
Khutbah Aidilfitri bertajuk Syawal Memupuk Silaturahim disampaikan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.
Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dengan jemaah.
Selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri Sultan Mizan serta Tengku Muhammad Ismail menziarah makam diraja yang terletak di pekarangan masjid sebelum berangkat pulang.