KUALA LUMPUR: Sijil lahir bagi bayi yang baru lahir di negara ini wajar ditambah baik dengan ciri keselamatan lebih canggih supaya tidak mudah dimanipulasi.
Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata penambahan cap jari dan tapak tangan atau tapak kaki bayi sebagai sebahagian data pengenalan wajar menjadi antara ciri yang perlu ditambah pada sijil lahir.
Ini katanya, bagi mengelak data peribadi atau pengenalan diri bayi serta kanak-kanak bawah 12 tahun yang belum mempunyai kad pengenalan MyKad daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
"Sejak dulu lagi wujud sindiket yang memanipulasi rakyat negara ini untuk menjual dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
"Ini termasuk sindiket mendalangi kegiatan menyeludup keluar warganegara asing terutama China, Sri Lanka dan India dari negara ini ke Eropah menggunakan PMA membabitkan kanak-kanak dan orang dewasa yang sudah lama berlaku," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian ketiga mengulas kejayaan Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan kanak-kanak warga Sri Lanka ke Eropah menggunakan PMA, Rabu lalu.
Kegiatan itu berjaya dibongkar Imigresen Kuala Lumpur susulan penahanan sepasang suami isteri yang disyaki mendalangi kegiatan itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dilaporkan berkata sindiket akan memperdaya ibu bapa rakyat Malaysia supaya membawa sijil lahir anak bawah 12 tahun ke pejabat Imigresen seolah-olah untuk membuat PMA untuk anak sendiri.
Ketika proses permohonan di kaunter Imigresen, sindiket akan turut membawa kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur dengan kanak-kanak sebenar.
Kanak-kanak warga asing itu akan dibawa ke kaunter Imigresen bagi tujuan rakaman cap jari dan proses ambil gambar.
Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, status PMA yang tersenarai sebagai antara pasport 'paling berkuasa' di dunia kerana boleh digunakan untuk mengakses 179 negara secara bebas visa atau dengan visa menjadi antara sebab mengapa ia menjadi 'barang panas'.
"Mereka yang memegang PMA mudah mengakses benua Eropah dan ini modus operandi digunakan sindiket terbabit untuk menyeludup kanak-kanak Sri Lanka ke negara di benua terbabit.
"Dalam isu penipuan identiti, pemilik identiti asal atau ibu bapa kanak-kanak lazimnya mengetahui perkara itu dan bersekongkol dengan sindiket, mungkin atas faktor desakan hidup atau tawaran bayaran tinggi," katanya.
Sementara itu, katanya, bagi mencegah berlaku kes penipuan identiti kanak-kanak sedemikian, pihak Imigresen perlu meningkatkan kewaspadaan dan kecekapan anggota dan pegawai yang bertugas di bahagian pengeluaran pasport.
"Namun dalam kes ini, pegawai berkenaan bertindak cekap kerana menemubual kanak-kanak terbabit dan didapati kanak-kanak itu tidak boleh bertutur bahasa Melayu.
"Prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang bersesuaian boleh digunakan anggota di lapangan dan di kaunter pasport untuk menangani isu sebegini," katanya.