Khamis, 20 April 2023 | 4:08pm

Sediakan pembiayaan alternatif tanpa riba atasi isu rumah siap tak terjual

KUALA LUMPUR: Seorang pakar ekonomi menolak cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yang mahu kerajaan mengambil alih pembinaan rumah mampu milik, bagi mengatasi isu lambakan rumah siap tidak terjual.

Cadangan itu diusulkan kerana REHDA berpandangan konsep 'subsidi bersilang' yang perlu dilaksanakan pemaju perumahan menjadi antara penyumbang kepada isu rumah siap tidak terjual, termasuk rumah mampu milik.

Menerusi mekanisme subsidi bersilang, harga rumah untuk pasaran terbuka akan dinaikkan bagi menampung kos pembinaan harga rumah mampu milik, menyebabkan harga rumah pasaran terbuka melambung tinggi hingga banyak yang tidak terjual.

Bagaimanapun, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpandangan cadangan supaya pembinaan rumah mampu milik dilaksanakan kerajaan sepenuhnya tidak menyelesaikan masalah itu.

Sebaliknya, beliau berkata, cadangan itu dijangka menaikkan kadar keuntungan pemaju yang hanya akan membina rumah mewah berharga RM400,000 ke atas, dengan kebanyakannya hanya mampu dimiliki warga asing, sekali gus tidak menyelesaikan isu pemilikan rumah dalam kalangan warga tempatan.

"Saya tidak melihat cadangan ini akan menyelesaikan masalah sebab jika kerajaan nak sediakan rumah mampu milik, mereka perlukan tanah dan kebanyakan tanah premium di bandar sudah dimiliki pemaju perumahan.

"Kesan jika pembinaan rumah mampu milik hanya dilaksanakan kerajaan adalah akan wujud lambakan rumah mewah, yang meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan warga asing dan orang kaya, manakala kebanyakan rakyat kita tetap tidak mampu miliki rumah," katanya kepada BH, semalam.

BH semalam melaporkan Presiden REHDA, Datuk NK Tong sebagai berkata, pemaju berdepan dilema kerana terpaksa menaikkan harga rumah di pasaran terbuka, khususnya akibat kenaikan kos bahan binaan ketika ini, supaya harga rumah mampu milik kekal rendah.

Katanya, ia menyebabkan harga rumah di pasaran terbuka meningkat sehingga di luar kemampuan pembeli dan menjurus kepada situasi rumah siap tidak terjual, sekali gus mencadangkan rumah mampu milik dibina kerajaan seperti dilaksanakan negara lain.

Ahmed Razman percaya isu rumah siap tidak terjual boleh diselesaikan jika faktor asas kepada masalah itu diatasi, iaitu aspek pembiayaan yang berpunca daripada kadar faedah tinggi dikenakan pihak bank, dengan harga rumah terus meningkat dan pendapatan rakyat rata-ratanya tidak berkembang.

"Jika beli rumah RM300,000 dengan bayaran pendahuluan 10 peratus, pembiayaan selama 30 tahun dan faedah empat peratus, peminjam bayar bulanan RM1,289. Jumlah keseluruhan dibayar pada bank adalah RM464,000 dengan 42 peratus daripadanya adalah faedah.

"Jika tiada bayaran pendahuluan, bayaran keseluruhan sudah cecah RM515,000. Jika kadar faedah pinjaman itu naik sekitar tujuh peratus, bayaran keseluruhan kepada mencecah RM718,000, sedangkan harga rumah hanya RM300,000," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan kaedah pembiayaan tanpa faedah berkonsepkan 'musharakah mutanaqisah' atau pemilikan bersama yang boleh disediakan koperasi atau agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara berhad (SPNB), tanpa membabitkan pihak bank.

Menerusi kaedah pembiayaan `musharakah mutanaqisah', katanya, pembeli dikenakan bayaran bulanan dalam bentuk sewa dan pemilikan, dengan kadar sewa bergantung pada purata sewa di kawasan kediaman atau negeri berkenaan.

"Jika harga rumah RM300,000 dan bayaran pendahuluan 10 peratus, pembeli sudah miliki 10 peratus rumah itu. Jika purata sewa kawasan itu adalah RM1,000, pembeli hanya perlu bayar RM900 sebulan kepada pembiaya kerana pembeli sudah miliki 10 peratus daripada nilai rumah.

"Pembeli kemudian perlu bayar tambahan secara bulanan untuk miliki rumah berkenaan. Jika bayaran tambahan itu RM600, dalam setahun sudah RM7,200 dan pemilikannya meningkat menjadi lebih 12 peratus, dan bayaran sewa akan berkurangan.

"Pembeli akhirnya akan miliki rumah dalam tempoh tertentu. Bayaran sewa juga akan berbeza," katanya.

Berita Harian X