Khamis, 20 April 2023 | 4:01pm

Anwar terima kunjungan Michelle Yeoh bersama trofi Oscar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Pertemuan bersama bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 itu dikongsikan Perdana Menteri melalui hantaran di Instagram (IG) Story dan Facebook beliau.

Dalam perkongsian itu, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak itu kerana membawa trofi yang dimenanginya menerusi filem Everything Everywhere All At Once pulang ke Malaysia.

"Hari ini terima kunjungan tokoh budayawan dan seniwati Tan Sri Michelle Yeoh yang baru-baru ini merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di acara Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023).

"Beliau mengimbau kisah suka dan duka perjalanan hidupnya terutamanya untuk mencapai tingkat kejayaan beliau hari ini dan beliau turut menitip pesan bahawa kejayaan gemilang anugerah Oscar itu cukup bermakna bagi dirinya, keluarga dan juga rakyat Malaysia seluruhnya.

"Pencapaiannya itu berjaya mengangkat nama negara di persada antarabangsa. Saya ucap semoga maju jaya dan terus beroleh kejayaan!," katanya hari ini.

Yeoh, 61, anak jati Ipoh, Perak, mula mencipta nama menerusi filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an.

Minggu lalu, Yeoh dilaporkan sudah kembali ke Malaysia dan menunjukkan kepada ibunya, Datin Janet Yeoh, 84, trofi Oscar dimenanginya itu.

Yeoh dilaporkan sangat gembira dapat berkongsi trofi itu dengan insan tersayang itu yang disifatkan tunjang terpenting kejayaannya sehingga sekarang.

Yeoh turut membawa trofi itu ke pusara bapanya, mendiang Datuk Yeoh Kian Teik. Yeoh pulang ke tanah air bagi menyambut ulang tahun ibunya, Janet yang sudah menjadi kepulangan wajib saban tahun.

Pada edisi ke-95 Oscar, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Terdahulu, menerusi watak Evelyn Quah Wang, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini. - Foto ihsan FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini. - Foto ihsan FB Anwar Ibrahim
Berita Harian X