Selasa, 18 April 2023 | 6:27pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) menyantuni penumpang ETS dan komuter di Stesen KL Sentral, hari ini. - BERNAMA
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) menyantuni penumpang ETS dan komuter di Stesen KL Sentral, hari ini. - BERNAMA

8,820 tiket tambahan ETS dari KL ke utara hanya berbaki 10 peratus

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 peratus daripada 8,820 tiket tambahan dua hala perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari ibu negara ke utara yang ditawarkan sempena Aidilfitri ini, sudah habis terjual.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tiket tambahan itu bermula 24 Mac lalu bagi perjalanan antara 19 hingga 25 April selepas mendapat permintaan tinggi sempena Aidilfitri.

"KTMB menambah dua tren ETS bagi perjalanan KL Sentral ke Padang Besar serta dua tren lagi untuk laluan KL Sentral ke Butterworth bagi menampung permintaan tinggi dan memudahkan orang ramai pulang ke kampung.

"Setakat ini, 90 peratus (7,900) tiket terjual. Ini menunjukkan sambutan cukup hebat daripada penumpang terhadap perkhidmatan ETS KTMB," katanya selepas mengedarkan 1,000 pek hari raya kepada penumpang ETS dan komuter KTM di KL Sentral, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Beliau berkata, KTMB juga menawarkan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri untuk penumpang yang ingin ke Pantai Timur, bermula dari Stesen KL Sentral hingga Stesen Tumpat.

"Perkhidmatan ini menawarkan empat perjalanan pergi dan balik dengan 1,864 tiket dan setakat ini sebanyak 1,685 dijual," katanya.

Katanya lagi, kerajaan sentiasa menyokong usaha KTMB menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan kereta api bagi mengelakkan kesesakan pada musim perayaan.

"Inisiatif KTMB dalam menyediakan pengangkutan alternatif dengan tambang berpatutan ini sangat baik. Saya juga meminta KTMB supaya sentiasa memantau kualiti servis seperti ketepatan masa, penyelenggaraan tren dan operasi cekap terutama musim perayaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerja penyelenggaraan lebuh raya sepatutnya ditangguhkan atau dijadualkan semula bagi mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan ini.

Loke berkata, meskipun isu berkenaan di luar bidang kuasa kementeriannya, pihaknya mengambil maklum kesulitan pengguna jalan raya dengan menyampaikan maklum balas itu kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

"Memang saya sudah meminta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan berhubung dengan KSU KKR dalam menyampaikan maklum balas ini.

"Kita bersetuju untuk musim perayaan, memang banyak kereta dari Lembah Klang akan menuju ke Pantai Timur, utara dan selatan yang akan mengakibatkan lalu lintas meningkat dan kesesakan luar biasa.

"Jadi, kalau masih ada kerja penurapan kita minta supaya ditangguhkan dan dijadualkan semula supaya tidak menambah kesesakan di lebuh raya," katanya.

Beliau mengulas kesesakan teruk dari Kilometer (KM) 20.1 hingga KM30.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, berhampiran Bentong semalam, yang berpunca daripada kerja penyelenggaraan jalan.

Terdahulu tular video menunjukkan kesesakan teruk di Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong sejak semalam hingga mencetuskan kemarahan ramai pengguna.

Malah, laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur (LPT) turut menjadi mangsa 'serangan' pengguna yang bengang dengan situasi itu memandangkan ramai warga kota mula pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Berita Harian X