Selasa, 18 April 2023 | 1:10pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Ahli Parlimen tak perlu bimbang isytihar harta jika kehidupan jujur - TI-M

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mewajibkan semua Ahli Parlimen, Senator dan mereka yang memegang kuasa, mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi tujuan itu, undang-undang berkaitan seperti Akta Pengisytiharan Aset perlu dibentangkan bagi tujuan pengisytiharan harta dan dikemas kini secara teratur.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, berkata mereka yang asetnya didapati meningkat secara signifikan dalam tempoh yang singkat juga mesti diwajibkan memberi penjelasan dengan bukti dokumen sokongan yang diperlukan.

"Apabila membuat penyataan ini, maklumat berkaitan dengan Pemilikan Benefisial adalah penting supaya mereka tidak lagi boleh mengelak untuk mengisytiharkan harta mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, beliau sedang berbincang dengan pelbagai agensi, termasuk SPRM bagi menetapkan parameter jelas berhubung aspek pengisytiharan harta supaya lebih telus.

Perdana Menteri menyifatkan, pengisytiharan harta oleh segelintir pemimpin politik, termasuk yang kini menjadi menteri sebagai satu sandiwara kerana tidak mencerminkan jumlah sebenar kekayaan mereka.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, Perdana Menteri perlu menjadikan undang-undang pengisytiharan aset itu sebagai sebahagian agenda reformasi Kerajaan Perpaduan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pentadbiran Perdana Menteri mengamalkan pengurusan yang baik dan menghapuskan segala bentuk rasuah dalam kalangan wakil rakyat serta Senator.

Beliau berkata, terdapat sesetengah ahli politik yang mendakwa enggan mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka atas alasan ia sulit dan bimbang mengenai keselamatan diri.

"TI-M mengingatkan semua ahli politik bahawa mereka dipilih oleh rakyat. Justeru, mereka perlu ingat, sebagai wakil rakyat, mereka sewajarnya sentiasa telus dalam tindakan dengan mengamalkan integriti pada setiap masa.

"Satu daripada amalan ini adalah dengan membuat pendedahan penuh dan benar mengenai aset serta pendapatan mereka apabila diperlukan.

"Kekayaan yang diperoleh daripada kehidupan yang jujur harus menjadi sumber kebanggaan, bukan kebimbangan," katanya.

Berita Harian X