Selasa, 18 April 2023 | 12:41am
Loke bercakap kepada pemberita pada majlis di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, malam tadi. - NSTP/AZRUL EDHAM
Loke bercakap kepada pemberita pada majlis di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, malam tadi. - NSTP/AZRUL EDHAM

'Pihak lawan cuba retakkan hubungan PH-BN'

SEREMBAN: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) meliputi DAP dengan Barisan Nasional (BN) bukan untuk kepentingan politik kepartian ataupun dilihat dari sudut kelebihan bagi meraih undi, terutama daripada kaum Melayu.

Setiausaha DAP, Anthony Loke ketika menegaskan perkara itu berkata, sebaliknya kerjasama berkenaan adalah untuk kestabilan politik bersandarkan semangat Kerajaan Perpaduan.

"Kita melihat kerjasama ini (PH-BN) sebagai semangat Kerajaan Perpaduan, bukan melihat dari segi kelebihan meraih undi.

"Apa yang dicapai hari ini adalah muafakat dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan melalui kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Gabungan utama perlu bekerjasama bagi mewujudkan keadaan politik yang stabil atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

"Justeru, kita melihat kerjasama ini bukan dari sudut keuntungan politik tetapi lebih kepada kestabilan politik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Aidilfitri Kepada Masjid, Surau dan Asnaf di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan bahawa pengundi Melayu dilihat tidak bersetuju terhadap kerjasama PH-BN dan akan menolak gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan mendakwa, pihak lawan enggan melihat kerjasama PH-BN berada dalam keadaan baik dan kuat.

"Jika kerjasama ini berpanjangan, ia akan merugikan mereka (pihak lawan) kerana tidak dapat menawan kerajaan hari ini.

"Oleh itu, pihak lawan akan cuba menjatuhkan kerajaan hari ini dengan cara meretakkan hubungan antara PH dengan BN," dakwanya.

Berita Harian X