KUANTAN: Penghuni Penjara Penor, di sini, bertuah berpeluang merasai bubur lambuk istimewa, hasil air tangan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Aminah Maimunah Iskandariah untuk juadah berbuka puasa, hari ini.
Dalam program julung kali diadakan di penjara terbabit, sebanyak 2,500 bekas daripada tiga kawah bubur lambuk diagihkan kepada penghuni penjara serta kakitangannya.
Tunku Azizah bertitah, baginda menamakan bubur lambuk berkenaan sebagai bubur Che Minah Sayang sempena gelaran yang dipanggil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadapnya.
"Kalau di Pahang, kita panggil bubur lambuk itu yang ada daun. Tetapi di Kuala Lumpur, bubur daging juga dipanggil bubur lambuk. Jadi, saya nak tukar nama. Tak nak panggil bubur lambuk tetapi panggil 'ubur Che Minah Sayang," titah baginda.
Turut hadir, Pengarah Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara Datuk Nordin Muhamad; Pengarah Penjara Negeri Pahang, Timbalan Komisioner Penjara Datuk Abu Hassan Hussain dan Pengarah Penjara Penor, Penolong Kanan Komisioner Penjara Fayrouz Ahmad Zawawi.
Titah baginda, program terbabit akan dijadikan program tahunan untuk Penjara Penor dan Bentong pada masa akan datang.
Baginda juga meluangkan masa menyantuni peserta bengkel Tenun Pahang Diraja di di penjara terbabit.
Bengkel Tenun Pahang Diraja, Penjara Penor ialah idea dan inisiatif Raja Permaisuri Agong sejak 2006 bertujuan mengekalkan seni tenunan warisan Pahang, berusia sejak 300 ratus tahun yang lalu.